Sunday, December 12, 2010

Pandangan PACE Terhadap Sokongan Negara Amerika Latin ke atas Palestin

Dr. Hafidzi Mohd Noor, Ahli Lembaga Pengarah Aqsa Syarif

Tindakan Mahmud Abbas untuk mengistiharkan negara Palestin yang berdaulat dan merdeka menjelang 2011 dan disusuli dengan kenyataan Salam Fayyad bahawa pengistiharan itu akan dilaksanakan pada bulan Ogos telah mengundang pelbagai reaksi masyarakat antarabangsa.

Negara-negara Amerika Latin telah memberi reaksi positif kepada pengumuman tersebut dengan menyokong pendirian Pihak Berkuasa Palestin (PNA). Setakat ini tiga negara Amerika Latin iaitu Brazil, Argentina dan Uruguay telah menyatakan sokongan padu mereka untuk mengiktiraf sebuah negara Palestin yang berdaulat. Adalah dijangka beberapa negara Amerika Latin yang lain juga akan berbuat demikian dalam masa yang terdekat. Seperti yang dijangka Israel membidas tindakan tersebut dan mendakwa pendirian negara-negara Amerika Latin tersebut bertujuan untuk menjejaskan rundingan damai di antara Israel dan pihak berkuasa Palestin. Ronald S. Lauder, presiden Kongres Yahudi Sedunia (WJC), jurucakap bagi pihak Israel menegaskan bahawa proses perdamaian di antara Israel dan Palestin mestilah berdasarkan kepada rundingan damai yang disepakati di antara kedua pihak. Dalam satu kenyataan rasmi, WJC mendesak Amerika Syarikat dan tiga lagi anggota Kuartet Timur Tengah iaitu Rusia, Kesatuan Eropah dan Bangsa-bangsa Bersatu supaya mengutuk pendirian negara-negara Amerika Latin tersebut dan membuat penegasan bahawa konflik di antara Israel dan Pihak Berkuasa Palestin hanya akan diputuskan melalui persetujuan bersama di antara kedua pihak. Abraham H. Foxman, Pengarah Pusat bagi ADL, Anti-Defamation League (Liga Anti 'fitnah'), sebuah badan yang memantau kenyataan yang berbaur 'anti semitik" yang berpusat di Amerika Syarikat menegaskan bahawa tindakan negara-negara tersebut hanya akan menjejaskan usaha membina jambatan dan persefahaman di antara Israel dan Palestin.

Pendirian negara-negara Amerika Selatan untuk menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat adalah konsisten dengan semua pendirian mereka dalam isu konflik Palestin - Israel. Semenjak beberapa tahun kebelakangan negara-negara tersebut telah mengambil pendirian yang menunjukkan sikap kritikal mereka terhadap dasar luar Amerika Syarikat. Sebahagian negara-negara Amerika Latin menganggap pendirian dan tindakan yang mereka ambil tidak perlu lagi terikat dengan dasar luar Amerika. Kerana itu mereka amat lantang membidas Israel apabila berlaku siri-siri serangan ke atas Gaza pada tahun 2008 dan serangan ke atas flotila kemanusiaan ke Gaza pada bulan Mei 2010. Presiden Venezuela, Hugo Chavez telah bertindak mengusir duta Israel keVenezuela ekoran serangan biadab Israel pada tahun 2009 sambil menuduh Israel terlibat melakukan genosid - pembunuhan etnik ke atas penduduk Palestin. Bahkan sebelum itu pada tahun 2006 Venezeula memanggil pulang dutanya ke Israel sebagai protes ke atas serangan Israel terhadap Lebanon. Begitu juga Presiden Evo Morales telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel. Presiden yang sama pernah mengusir duta Amerika ke Bolivia pada tahun 2008 atas dakwaan Amerika mendalangi sokongan kepada parti pembangkang Bolivia. Dengan tindakan berani sedemikian, pendirian untuk menyokong pengistiharan negara Palestin yang merdeka langsung tidak memeranjatkan dunia.

Sikap kritikal dan tegas ke atas Israel terus diperlihatkan dalam tragedi yang menimpa flotila kemanusiaan ke Gaza, apabila berlaku serangan ke atas para sukarelawan yang berada di atas kapal Mavi Marmara pada hujung Mei 2010, Brazil telah mengarahkan duta Israel ke Brazil untuk mengutuk dan menjelaskan tindakan biadap tersebut. Sebelas negara Amerika tengah dan selatan mengutuk Israel ekoran tragedi Mavi Marmara iaitu Argentina, Bolivia, Venezuela, Cuba, Nicaragua, Mexico, Ecuador, Chile, Paraguay, Uruguay dan Peru.

Apakah latarbelakang kepada sikap tegas dan tindakan berpaksikan prinsip yang didokongi oleh negara-negara Amerika Selatan. Salah satu dari asasnya ialah negara-negara tersebut sudah mandiri dari sudut ekonomi dan tidak lagi bergantung kepada suntikan dana dari Amerika Syarikat atau melalui instrumen-instrumen kewangan yang mewakili kepentingan Amerika Syarikat seperti Bank Dunia. Brazil berjaya melunaskan semua hutangnya sebanyak lebih dari USD15 billion kepada bank dunia pada tahun 2005. Bahkan pada tahun 2009 Brazil memberi pinjaman kepada bank dunia sebanyak USD10 billion. Negara-negara kuasa ekonomi baru di samping Brazil iaitu India, Rusia dan Cina turut memberi pinjaman kepada Bank Dunia. Semua ini mengisyaratkan bahawa Amerika Syarikat bukan lagi kuasa besar unitunggal yang tidak bolih dicabar oleh mana-mana pihak. Kemandirian dari sudut ekonomi inilah yang menunjangi tindakan Brazil untuk tidak bersetuju dengan Amerika Syarikat bagi meneruskan sekatan ekonomi ke atas Iran pada tahun 2010. Kemandirian ekonomi sebagai penentu penting dalam membebaskan diri dari kongkongan Amerika Syarikat turut dipamerkan oleh Turki yang menyertai Brazil membantah penerusan sekatan ekonomi ke atas Iran.

Apakah implikasi dari pengiktirafan dan sokongan negara-negara Amerika latin ke atas Palestin. Dari sudut prinsipnya, negara Palestin sepatutnya telah lama diistiharkan bebas dari pendudukan Israel. Ini adalah berdasarkan kepada resolusi 242 Majlis Keselamatan PBB di mana Israel dikehendaki keluar dari wilayah yang mereka ceroboh pada tahun 1967 iaitu Tebing Barat, Baitul Maqdis Timur dan jalur Gaza. Namun seperti resolusi lain yang dianggap tidak menyebelahi kepentingan Israel tidak diendahkan oleh israel dan pelindungnya Amerika Syarikat. Kemudian apabila termetrinya perjanjian Oslo pada tahun 1993 di antara Yasser Arafat dan Yitzhak Rabin, negara Palestin yang merdeka dijadualkan akan diistiharkan dalam tempoh lima tahun iaitu pada tahun 1998. Namun Israel terus mengkhianati persetujuan Oslo dan meneruskan aktiviti pembinaan penempatan haram di Baitul Maqdis timur dan Tebing Barat. Persetujuan Oslo kemudiannya gagal dan disusuli pula dengan pelbagai inisiatif untuk mengembalikan hak rakyat Palestin dan penubuhan wilayah Palestin yang berdaulat di Tebing Barat dan Baitul maqdis timur. Namun apa yang berlaku semua perjanjian dan persetujuan ini hanya tinggal retorik. israel pula terus berdolak dalih dan memberi alasan demi alasan untuk terus berunding kononnya bagi mencapai kata sepakat. Kata sepakat tidak mungkin tercapai apabila israel bertindak melanggar semua ketetapan yang telah disepakati dalam siri-siri rundingan yang lebih layak disebut siri-siri penipuan. Terakhir ialah persetujuan yang dicapai semasa Konferens Annapolis pada tahun 2007. Persetujuan ini langsung tidak bererti apabila sebaik sahaja ketetapan disepakati, Israel melanjutkan tindakan mengambil alih tanah rakyat Palestin di Tebing Barat, mengusir penduduk Palestin dan membina penempatan-penempatan haram Yahudi. Konferens Annapolis menjadi satu pertemuan sia-sia apabila menteri Luarnya Avigdor Lieberman mengistiharkan Konferens Annapolis tidak relevan pada 1 April 2009.

Berdasarkan kepada rekod buruk yang dipamerkan oleh Israel berhubung siri-siri rundingan damai Palestin israel, maka kewujudan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan peruntukan Resolusi 181 dan Persetujuan Rhodes 1949 adalah suatu yang hampir mustahil. Kemungkinan inilah yang mendorong Mahmud Abbas untuk membuat pengistiharan sehala negara Palestin yang merdeka menjelang Ogos 2011. Namun pengistiharan ini jika tidak ditunjangi oleh kehendak politik yang bersungguh ia juga akan tinggal retorik. Apa yang perlu dilakukan oleh Mahmud Abbas dan fraksi Fatah yang mentadbir Tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur ialah mengambil sikap bekerjasama dengan pemerintahan Hamas di Gaza. Hamas meletakkan pendirian yang jelas iaitu Israel mesti berundur dari wilayah yang diduduki pada tahun 1967 dan kemudian disusuli dengan gencatan senjata untuk tempoh waktu yang diputuskan oleh kedua belah pihak, tanpa perlu mengiktiraf negara Israel. Kerana hakikatnya negara Israel yang ditubuhkan pada tahun 1948 itu tetap merupakan satu pendudukan haram ke atas negara Palestin meskipun ianya diiktiraf oleh PBB melalui resolusi 181. Resolusi ini meskipun legal namun ia diterima dalam keadaan PBB belum lagi dianggotai oleh negara-negara umat Islam dan rancangan pembahagian palestin kepada wilayah Arab (45%) dan Yahudi (55%) tidak pernah dirujuk kepada rakyat Palestin yang merupakan waris sebenar ke atas negara palestin. Masalahnya ialah PNA (Pihak Berkuasa Palestin) yang diterajui oleh fatah telah melakukan kesilapan besar dalam perjanjian Oslo iaitu mengiktiraf Israel tanpa sebarang pengiktirafan Israel ke atas negara Palestin dan kedudukan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin. Apa yang diterima oleh pihak PLO dalam perjanjian Oslo ialah sekadar pengiktirafan Israel ke atas pihak berkuasa Palestin untuk mentadbir wilayah yang kecil iaitu di Ariha (Jericho) di Tebing Barat.

Walaubagaimanapun sokongan padu dari negara-negara kuasa ekonomi baru termasuklah negara-negara Amerika Latin yang mandiri ekonomi bolih memberikan tekanan yang cukup besar kepada Israel. Sokongan negara negara Amerika Selatan tidak boleh dianggap kecil. Mereka amat menginsafi kesan dari sokongan ini sehingga WJC dan ADL terpaksa membuat kenyataan-kenyataan bagi pihak Israel, bahkan mendesak Kuartet Timur tengah yang diterajui Amerika supaya melakukan sesuatu. pastinya ini mengisyaratkan Israel kini berada dalam keadaan yang terdesak. Israel yang sudah cukup terkesan dengan tekanan yang dikenakan oleh Turki, sebuah negara sekutu kuat Israel selama ini, kini berhadapan pula dengan pandangan umum antarabangsa yang tidak memihak kepada kelnagsungan negara Israel itu sendiri. Kali ini ia tidak datang dari negara-negara Arab yang tidak pernah dilihat sebagai satu ancaman olehnya. Ia datang dari negara-negara Amerika Selatan dan kali ini Israel tidak bolih lagi mengambil sikap acuh tak acuh kerana implikasinya cukup besar. Wajah huduh Israel sebagai negara penyangak (rogue state) akan terus subur dan membentuk sikap dan tindakan masyarakat dunia selepas ini.

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah PACE (pusat Kecemerlangan Palestin)
Ahli Lembaga Pengarah Aqsa Syarif Bhd.
 

Perutusan Khas Pengerusi Aqsa Syarif Sempena Sambutan Maal Hijrah 1432H

Ustaz Hasanuddin Mohd. Yunus, Pengerusi Aqsa Syarif

Segala puji bagi Allah yang telah mengatur perjalanan setiap para Anbiya’Nya, Selawat dan Salam ke atas Junjungan Nabi S.A.W yang telah memimpin para sahabatnya sehingga terbentuknya Hakimiyyah Nubuwah selepas peristiwa Hijrah.

Doa untuk para sahabat, tabien dan seluruh pengikut tabien termasuk guru-guru dan murabbi ummah sepanjang zaman sehingga hari qiamat.

1432 tahun yang lalu, berlakunya hijrah nabi S.A.W dan Khalifah Omar al-Khattab mencatitnya sebagai tahun bermulanya kalendar ummat Islam.

Tidak hairan Khalifah kedua Islam itu memang terkenal dengan al-Faruq; pembeza. Beliau sendiri sangat berbeza semasa jahiliyah dan semasa Islamnya.

Beliau, dengan sengaja mengambil peristiwa Hijrah sebagai permulaan kalendar untuk menonjolkan satu perbezaan besar telah berlaku, antara perjuangan Nabi S.A.W sebelum Hijrah dan selepas Hijrah.

Timbul tanda tanya, samada kita yang kurang menggunakan kaledar ini, atau paling tidak yang menyambut Maal Hijrah saban tahun ini, dapatkah menghayati dan merasakan konsep “erti beza” ini.

Al-Quraan yang diturunkan pada bulan Ramadhan, merupakan al-Furqan; juga membawa maksud membeza.

Bila al-Quraan bercakap pasal membeza antara al-Haq dan al-Batil  Hijrah pula mengingatkan kita peritiwa yang membawa perbezaan. Dakwah di Mekah tanpa kuasa dan dakwah di Madinah dengan kuasa (authority). Keduanya memerlukan kekuatan berfikir. Berfikir untuk membeza dan membanding.

Rupanya kita adalah ummat yang diajar untuk sentiasa berfikir, menilai, memerhati, membanding yang akhirnya membantu kita membuat keputusan dalam banyak hal.

Aqsa Syarif yang ditubuhkan pada 20 Safar 1431H bersamaan 4 Feb 2010 sentiasa menjulang isu Palestin di peringkat nasional mahupun di peringkat antarabangsa.

Pendekatan kita ialah mengajak samada masyarakat Islam mahupun bukan Islam untuk berfikir, menilai dan membeza kehidupan yang mereka jalani dengan kehidupan yang dilalui oleh masyarakat Palestin.

Mereka di Palestin memerlukan peluang untuk hidup aman damai seperti kita. Malangnya potensi yang ada pada mereka dan anak-anak mereka dinafikan oleh penjajah Israel itu.

Bagi masyarkat Islam, Aqsa Syarif sentiasa mengajak mereka memahami perjuangan Palestin. Sokongan terhadapnya adalah bertolak dari aqidah yang jelas.

Permusuhan Yahudi terhadap Ummat Islam adalah isu aqidah. Al-Quraan telah mengisytiharkannya, bahawa mereka akan melakukan kerosakkan dan meninggi diri dua kali. Permulaan surah al-Isra’ antara contohnya.

Hadis Nabi S.A.W yang menyebut dengan jelas, walau kita cuba mengelakkan peperangan dengan si degil yahudi itu, peperangan tetap akan berlaku sebelum hari Qiamat.

Peperangan yang menyaksikan tingginya kualiti mukmin yang menganggotai pertempuran ketika itu, sehingga terbuka hijab alam metafizik, pokok dan batu boleh berkominikasi dengan mereka.
Pokok, sebagai contoh, akan mendedahkan percubaan bersembunyi si Yahudi laknatullah di sebaliknya. Malah pokok akan memanggil “wahai hamba Allah, wahai mukmin! Ini yahudi, bunuhlah dia”.

Seorang muslim biasa, yang tidak bertarbiyyah dan hidup tanpa ketinggian kerohanian, tidak akan mampu mendengar suara alam semesta seperti itu ketika dia kononnya bersama Palestin dan ummah dalam perjuangan menentang Yahudi ini.

Tarbiyyah yang dijulang oleh Aqsa Syarif dan Pertubuhan IKRAM Malaysia ialah tarbiyyah yang akan melahirkan petugas dan sukarelawan yang memiliki sifat-sifat yang pernah diusahakan oleh Iman Hasan al-Banna, yang terdidik dalam alam kerohanian yang sangat jernih.

Tarbiyyah ini akan berusaha melahir dan meramaikan mukmin yang tubuhnya sihat dan kuat, akhlak yang mantap, berpendidikan, mampu berdikari, akidah yang sejahtera, ibadah yang betul, bermujahadah mengurus nafsu, menjaga masanya, segala urusannya tersusun dan berguna kepada orang lain.

Mereka ini akan menjadi sukarelawan yang bermanfaat bukan untuk perjuangan Palestin sahaja, malah juga kepada negara Malaysia ini sendiri dalam isu-isu kemanusiaan. Mereka juga menjadi jaguh dan contoh terbaik kepada masyarakat dunia.

Tema Maal Hijrah tahun 1432 ini, “Satu Malaysia Satu Ummah” layak ditafsir mengikut kefahaman pelbagai. Bagi Aqsa Syarif, kita memang membawa isu Palestin sebagai isu kemanusiaan sejagat.

Ceramah-ceramah sukarelawan Aqsa Syarif telah mula menembusi telinga rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam. Terbukti kita menyaksikan titisan air mata warga Iban di Miri yang mendengar penderitaan rakyat Palestin dan kebiadapan komando Israel menceroboh kapal Marvi Marmara.

Saya juga dapat menyaksikan dua pelajar PhD Malaysia di Jepun (Chan Chee Ming dari University Yokohama dan Jenny Yap University Yamanashi) yang menyatakan mula memahami kedudukan sebenar perjuangan Palestin.

Aqsa Syarif bersedia untuk terus menjulang isu Palestin khususnya di peringkat nasional dan memimpin rakyat Malaysia, bersama NGO-NGO Palestin yang lain sebagai satu ummah.

Kita percaya satu Malaysia, rakyat dan pemerintahnya, tidak kira apa bangsa keturunan, apa agama sekali pun boleh bertindak sebagai satu ummah untuk memberi tekanan kepada Israel.

Bersama memboikot sebarang produk Israel atau sekutu-sekutunya. Bersama menghantar bantuan kepakaran, kewangan atau apa sahaja yang boleh meringankan beban rakyat Palestin.

Tahun 1431H menyaksikan Aqsa Syarif bermain dan bergelumang dengan beberapa isu kritikal Palestin. Walaupun dilihat baru di gelanggang, pimpinan dan sukarelawan Aqsa Syarif merupakan gandingan muka-muka lama dan baru yang berjaya mencipta sejarah baru perjuangan Palestin.

Pimpinan Palestin acap kali mengulang-ulang bahwa tahun lepas dan tahun ini merupakan tahun intifadhah ketiganya. Tembok kepungan Gaza semakin hampir keruntuhannya walau pun tangan-tangan jahat Yahudi itu masih cuba mengampu tembok itu.

Aqsa Syarif terlibat dalam dua peristiwa besar membantu Palestin yang telah benar-benar membuka mata dunia - kapal Marvi Marmara dan Konvoi Darat. Marvi Marmara menyaksikan Aqsa Syarif bekerjasama dengan sahabat-sahabat seperjuangan Haluan Palestin di bawah payong IHH, Turki. Melalui rombongan Konvoi Darat pula, 7 sukarelawan Aqsa Syarif yang sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit telah bekerjasama dengan Viva Palestina Malaysia dan United Kingdom.

Lihatlah, beberapa pemimpin dunia mula berani melawat ke Gaza secara terbuka. Mereka berani menjanjikan membawa bantuan atau kemudahan pembangunan. Sebagai contoh, Menteri Luar German, Guido Westerwelle, yang melawat Gaza pd 8 Nov 2010 bertujuan untuk mendapatkan maklumat langsung bagaimana untuk memperbaiki tahap kehidupan rakyat Gaza.

Bekas Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Norian Mai yang aktif dalam PGPO dan Matthias Chang Wen Chieh yang berucap dalam satu Seminar Kemanusiaan Berkaitan Tahanan Penjara di Bumi Palestin, mewakili Tun Dr Mahathir Mohamad di bumi Gaza pada 22 Okt 2010, juga membuktikan asakan kita semakin kuat.

Sebelum itu, pada 9 Ogos 2010, rombongan NGO Pemuda Masjid, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan rombongan Kelab Putera 1Malaysia bersama Aman Malaysia dan penyanyi Fauziah Latiff turut menjejakkan kaki ke bumi pertaruhan itu.

OIC juga telah mula berani menyelaras NGO-NGO Palestin seluruh negara untuk masuk ke Gaza, meninjau dan menghantar bantuannya. Mereka juga menyelaras rombongan pakar-pakar perubatan untuk masuk ke Gaza.

Tahun 1431H juga menyaksikan Parlimen Malaysia secara sebulat suara menyokong usul Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak untuk mengutuk dan memberi tekanan kepada Israel.

Kami kagum dengan ahli-ahli Parlimen Malaysia yang terdiri dari pelbagai parti politik samada parti pemerintah dari Barisan Nasional sendiri, mahupun Parti Pembangkang yang diketuai Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Tuan Guru Dato’ Haji Abd Hadi Awang, En. Lim Kit Siang dan lain-lain.

Semangat Malaysia yang disatukan dengan isu Palestin, menjadikan kami barisan pejuang Palestin seperti Aqsa Syarif berasa bangga, walau pun Parlimen itu boleh juga disatukan dengan isu-isu lain.

Aqsa Syarif menyeru seluruh petugas-petugasnya di tanah air dan di luar negara, penyokong-penyokongnya dan sesiapa yang simpati kepada perjuangan Palestin agar meningkatkan kesedaran demi meggerakkan apa yang ada. Harapannya, apa yang sedang terpacu ini akan terus mara ke hadapan di tahun-tahun yang mendatang.

Semoga sambutan Maal Hijrah tahun 1432 ini akan mengajak kita semakin berani berfikir, menilai, membanding dan akhirnya membuat keputusan yang terbaik.

Kehidupan kita akan berbeza dengan kehidupan sebelum ini.
Menjadi seorang yang ambil peduli tentang Palestin atau membiarkan Palestin begitu sahaja. Menjadi seorang yang terlibat sebagai sukarelawan dengan NGO Palestin seperti Aqsa Syarif atau menjadi sekadar pemerhati. Menjadi seorang penderma tetap Palestin atau terus mengelak untuk menderma.

Menjadi seorang yang sentiasa mendoakan Palestin dan Masjil-Aqsa atau hanya berkenduri tanpa mendoakan Palestin. Menjadi penyebar berita Palestin atau terus sibuk dengan FB dan chatting yang kurang berfaedah.

Ya jadilah umat yang berhijrah, jadilah umat yang pandai membezakan, yang pandai menilai dan yang pandai membuat keputusan. Membeza antara al-haq dan al-batil. Umat yang maju dan terus maju.

USTAZ HASANUDDIN MOHD YUNUS
Pengerusi AQSA SYARIF
Ahli Dewan Perwakilan Nasional Pertubuhan IKRAM Malaysia

Maal Hijrah: PACE ajak berazam bebaskan Al Quds

KUALA LUMPUR - Menjelang detik tahun baru hijrah beberapa hari lagi, Pusat Kecemerlangan Palestin atau PACE mengajak umat Islam mengenang kembali sejarah perjuangan umat Islam untuk membebaskan Palestin khususnya bumi al-Quds, masjid al-Aqsa dan Semenanjung Gaza yang terkepung sekarang.
Pada saat jutaan umat Islam mungkin bersiap sedia untuk meluahkan azam 1 Muharam 1432 Hijrah bagi memperbaiki pencapaian peribadi masing-masing, kira-kira dua juta penduduk Gaza sedang berjuang hanya untuk dua kemungkinan - hidup atau mati. Semuanya gara-gara penindasan, serangan dan pembunuhan yang dilakukan oleh rejim Israel sejak 64 tahun lalu.

"Bagi mereka, tahun baru hijrah hanya menjanjikan satu kepastian iaitu perjuangan membebaskan Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa pasti diteruskan. Itulah azam yang tertanam kukuh dalam diri setiap umat Palestin," demikian mesej yang dicoretkan oleh Pengarah PACE, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor dalam perutusan Maal Hijrahnya.
Tambah beliau, azam pejuang Palestin untuk membebaskan Baitul Maqdis daripada cengkaman Zionis tidak pernah luntur. Mereka terus berjihad sekalipun ramai pemimpin negara umat Islam belot dan bersekongkol dengan musuh.
"Setiap orang akan merasa insaf bagaimana mungkin sebuah umat yang diperangi oleh kuasa tentera keempat terbesar di dunia dan mendapat sokongan padu daripada kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah dapat bertahan puluhan tahun lamanya. Bahkan Bangsa-bangsa bersatu yang sering memihak kepada kepentingan Zionis kerana didalangi oleh Amerika dan sekutu-sekutunya sering gagal membela kepentingan dan hak rakyat Palestin.

"Apakah rahsia kekuatan mereka sehingga mereka tidak berganjak langsung dari prinsip perjuangan meskipun diasak dengan begitu hebat oleh Zionis, negara kuasa besar bahkan rejim-rejim negara Arab yang menjadi boneka kepada kepentingan Amerika?" soal beliau.

Inilah inspirasi yang patut diambil daripada kecekalan jihad umat Palestin. Meskipun mereka terpaksa berhadapan dengan bala tentera yang disokong oleh golongan Ahzab moden, 50% anak-anak Gaza menderita kekurangan zat makanan, ramai yang tidak bersekolah kerana sekolah-sekolah dibom dan alat tulis disekat daripada dibawa masuk ke Gaza, namun mereka tidak pernah putus pergantungan kepada Allah.
Difahamkan Israel mendapat bantuan daripada Amerika Syarikat bernilai hampir USD3 bilion setahun dalam bentuk pelbagai senjata canggih.

Di sebalik segala ketidakadilan ini, kata Dr Hafidzi, umat Islam Palestin tidak jemu-jemu membina generasi pelapis yang menjadi hufaz (orang-orang yang menghafaz al-Quran) dan mengamalkan ajarannya. Pada musim panas lalu mereka berjaya melahirkan 30,000 hufaz cilik lelaki dan perempuan.

Tambahnya, peristiwa Hijrah bukan sekadar sejarah tetapi petunjuk kepada kemenangan yang besar. Hijrah Rasulullah didahului dengan pemulauan ke atas umat Islam selama tiga tahun, diikuti dengan kematian dua insan yang banyak membantu baginda iaitu bapa saudaranya Abu Talib dan isterinya Khadijah. Dakwah baginda di Taif juga ditolak keras malah baginda dilontar dengan batu.

Ketika suasana dukacita itulah Allah memperjalankan baginda dalam peristiwa Israk Mikraj ke al -Aqsa dan seterusnya hingga ke Sidratul Muntaha. Sekembalinya ke dunia, baginda melakukan pertemuan demi pertemuan dengan penduduk Yathrib hinggalah baginda berhijrah ke Madinah dan memimpin umat Islam di sana.

"Dalam konteks perjuangan rakyat Palestin pada hari ini, peristiwa Hijrah adalah satu jaminan daripada Allah bahawa kemenangan pasti akan berpihak kepada pejuang kebenaran. Kekuatan fizikal dan sokongan antarabangsa yang dinikmati oleh Israel tidak akan melindungi rejim haram itu daripada kemusnahan. Sebagaimana kepungan dan boikot ke atas Rasulullah sallallahu alaihi wasallam gagal maka begitu juga sekatan ekonomi dan kepungan ke atas Gaza akan gagal dengan kuasa Allah," tegas Dr Hafidzi lagi.

"Peranan kita umat Islam pula ialah meletakkan satu azam untuk bersama dalam jihad mempertahankan tanah suci ini. Peruntukkanlah sebahagian daripada penghasilan kita untuk perjuangan pembebasan al-Quds.
"Barangsiapa yang memberi bekal kepada para mujahidin maka dia juga adalah mujahidin," beliau mengakhiri perutusannya dengan mafhum sebuah hadis.

Cadangan Teks Khutbah Sempena Maal Hijrah 1432H

Assalamualaikum wrt bth.

       
اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ لَهُ مَا فِى السَّمَوَاتِ وَمَا فِى الأَرْضِ وَلَهُ الْحَمْدُ فِى الآخِرَةِ وَهُوَ الْحَكِيْمُ الْخَبِيْرُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT yang telah memanjangkan usia dan memberi kesempatan untuk meneruskan sisa-sisa hidup yang masih berbaki di alam yang fana ini. Selang beberapa hari lagi kita akan memasuki tahun baru hijrah 1432. Khatib mengambil ruang khutbah ini untuk mengajak umat Islam merenung satu perjuangan agung yang telah berlangsung sejak seabad yang lalu. 

Khatib memilih untuk mengulas isu ini kerana rata-rata umat Islam seolah-olah lupa dengan penderitaan yang masih ditanggung oleh umat Islam di Gaza. Serangan besar-besaran telah dihentikan pada akhir Januari 2009 namun dengan berhentinya serangan tersebut ia tidak membawa apa-apa harapan kepada rakyat Gaza. Mereka terus dikepung, terus dikenakan sekatan ekonomi, terus dihalang dari mendapat bekalan makanan, ubat-ubatan, bekalan air bersih, bahan binaan dan bahan bakar. Kedudukan mereka tidak pernah berubah sejak empat tahun yang lalu apabila Israel menutup sempadan keluar-masuk dan laluan laut dan udara. Yang lebih memilukan ialah Negara umat Islam yang berjiran dengan Gaza iaitu Mesir turut tunduk kepada tekanan Israel dan menutup satu-satunya laluan ke Mesir dipintu masuk Rafah. Bahkan sewaktu rakyat Gaza yang tercedera cuba untuk mendapatkan rawatan di Mesir, mereka telah dihalang dari memasuki sempadan sehingga ada yang meninggal kerana menunggu beberapa hari di pintu masuk. Bukan sahaja penduduk Gaza tidak dibenarkan menyeberang masuk bahkan bantuan perubatan yang datang dari seluruh dunia juga tidak dibenarkan masuk untuk menghantar doktor, ubat-ubatan dan peralatan untuk rawatan. Sesungguhnya dunia belum pernah menyaksikan kezaliman yang begitu menyolok mata yang dilakukan oleh umat islam sendiri ke atas saudara-saudara seagama mereka.

Berbanding dengan pendirian Mesir dan regim-regim Negara Arab yang bersekongkol dengan Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat kita lihat beberapa inisitif yang diambil oleh warga dunia yang begitu prihatin dan sanggup meletakkan nyawa mereka dalam bahaya untuk membantu rakyat Gaza atas dasar kemanusiaan yang tulus. Kita menyaksikan bagaimana lebih dari 700 orang di mana di kalangan mereka terdapat seratus lebih sukarelawan bukan Islam berganding bahu menyabung nyawa untuk menghantar bekalan kepada penduduk Gaza melalui jalan laut. Kita mengikuti peristiwa cemas apabila kapal Mavi Marmara yang mereka naiki diserang oleh Israel sehingga 9 orang dari mereka menemui syahid. Alhamdulillah umat Islam dari negara kita seramai 10 orang yang berada di atas kapal turut merasai medan jihad fizikal, satu anugerah yang cukup besar bagi mereka. Usaha ini kemudiannya disusuli pula dengan konvoi darat yang disertai oleh lebih dari seratus kenderaan yang berjaya memasuki Gaza pada bulan Oktober yang lepas. Sekali lagi umat Islam di negara ini turut serta. Seramai 12 orang sukarelawan berjaya membawa masuk 6 buah ambulan dengan peralatan perubatan ke Gaza. Semuga Allah memberi sebesar-besar ganjaran kepada rakan-rakan kita yang mengambil bahagian dalam misi-misi kemanusiaan yang lalu dan yang akan terus dianjurkan sehinggalah bumi Palestin dan Masjid al-Aqsa dikembalikan ke pangkuan umat Islam.

Kita juga menyaksikan betapa prihatinnya masyarakat antaranbangsa yang bertungkus lumus untuk membela rakyat Palestin. Richard Goldstone, seorang berbangsa Yahudi telah mengumpulkan semua bukti-bukti sehingga berjaya mengemukakan satu dakwaan jenayah perang ke atas Israel. Laporan ini dibentangkan di PBB dan disokong oleh majority negera anggota. Seperti yang diduga AS dan sekutu-sekutunya telah mengutuk laporan Goldstone. Pada awal tahun ini mahkamah Britain telah mendakwa Tzipi Livi, mantan Menteri Luar Israel sebagai penjenayah perang dan dikeluarkan waran tangkap kepada beliau. Meskipun atas desakan Israel, Perdana Menteri Gordon Brown memohon maaf dan berjanji untuk menukar prosedur undang-undang Britain, namum mahkamah telah mengambil satu tindakan yang berani dan berdasarkan prinsip perundangan yang saksama.

Di kalangan rakyat US yang prihatin, usaha sedang dilipat gandakan untuk memboikot barangan yang dibuktikan telah menyumbang kepada ekonomi Isreal. Mereka berjaya menggagalkan Motorola dari mendapat kontrak perniagaan kerana tekanan dari NGO US. Motorola adalah syarikat yang membekalkan fuse yang digunakan untuk meledakkan bom yang digunakan oleh Israel. Mereka juga giat menekan Caterpillar, syarikat pengeluar traktor supaya tidak digunakan di Isreal untuk merobohkan rumah-rumah rakyat Palestin di Tebing Barat. Beberapa barangan pengguna yang popular seperti McDonald, Coca Cola, Loreal dan Nestle juga menjadi sasaran sebahagian besar dari masyarakat antarabangsa untuk diboikot kerana sokongan syarikat-syarikat ini kepada Israel.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Marilah kita bandingkan kepekaan masyarakat antarabangsa yang bukan beragama Islam tetapi amat prihatin atas nasib saudara-saudara seagama kita di Palestin. Bagaimana pula dengan sikap dan pendirian umat Islam sendiri. Kita melihat umat Islam sendiri kadang-kadang tidak menunjukkan kepekaan langsung terhadap isu ini. Walhal yang menjadi perhitungan bukan sekadar sebidang tanah atau sebuah Negara asing, tetapi sebuah bumi suci di mana terletaknya tanah suci umat islam yang ketiga dan Masjid al-Aqsa yang menjadi destinasi Isra’ Rasulullah SAW.

 Al-Israa` ayat 1-4:
سبحن الذي أسرى بعبده ليلا من المسجد الحرام إلى المسجد الأقصى الذي بركنا حوله لنريه من ءايتنا  إنه هو السميع البصير
Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke Masjid Al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Apakah jiwa umat Islam sudah mati sehingga mereka tidak merasakan apa-apa? Apakah mereka tidak menghayati hadis Rasulullah SAW yang bermaksud

Dari shahabat Abu Sa’id Al Khudri, bahwa Rasulullah  bersabda:

يَسْتَطِعْ لَمْ وَإِنْ بِيَدِهِ فَلْيُغَيِّرْهُ مُنْكَرًا مِنْكُمْ رَأَى مَنْ
الإِيْمَانِ أَضْعَفُ وَذالكَ فَبِقَلْبِهِ يَسْتَطِعْ لَمْ وَإِنْ فَبِلِسَانِهِ

“Barang siapa yang melihat kemungkaran hendaknya dia mengingkarinya dengan tangan. Bila ia tidak mampu maka cegahlah dengan lisannya. Bila ia tidak mampu maka cegahlah dengan hatinya, yang demikian ini selemah-lemahnya iman.” (Muttafaqun ‘alaihi)


Surah al-Hujurat ayat 10

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٌ۬ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ (١٠)

Apakah yang akan kita jawab di dalam pusara nanti apabila Malaikat menanyakan soalan ‘Siapakah saudara-saudara kamu’? Apakah jawapan yang akan kita berikan? Apakah kita sanggup menjawab ‘seluruh umat islam saudara-saudara kita’ sedang ketika hidup di dunia kita tidak pernah memikirkan tentang mereka, bahkan kita khianati mereka dan kita bantu musuh-musuh kita memusnahkan kehidupan mereka dan membunuh mereka.” Walhal apa yang sepatutnya kita lakukan ialah berjihad bersungguh-sungguh untuk membela umat Islam.

وَمَا لَكُمۡ لَا تُقَـٰتِلُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلۡمُسۡتَضۡعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلۡوِلۡدَٲنِ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَخۡرِجۡنَا مِنۡ هَـٰذِهِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلظَّالِمِ أَهۡلُهَا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيًّ۬ا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا

“Mengapa kamu tidak mau berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik laki-laki, wanita-wanita mahupun anak-anak yang semuanya berdoa: “”Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau, dan berilah kami penolong dari sisi Engkau!”
(Al-Nisaa` : 75)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Di saat kita menyambut Ma'al hijrah dengan pelbagai cita-cita dan harapan untuk melakukan perubahan dalam hidup kita supaya hidup lebih makmur, bahagia, selesa, penuh dengan pelbagai nikmat, Ingatlah kehidupan yang sebenar ialah apabila kita meletakkan agenda Islam sebagai azam utama kita dalam hidup. Orang yang benar-benar merasai kenikmatan hidup ialah mereka yang berazam untuk berjuang pada jalan Allah. Orang yang benar-benar memenuhi matlamat hidup ialah mereka yang meninggikan kalimah Allah di muka bumi. Orang-orang yang benar-benar hidup ialah mereka yang memperjuangkan al-haq dan kebenaran. Orang-orang yang hidup dalam ertikata sebenar ialah mereka yang berjihad pada jalan Allah sehingga mereka menemui Allah dalam keadaan sedemikian.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Marilah kita ajak diri kita, keluarga dan anak-anak kita untuk menghayati perjuangan umat Islam pada hari ini dalam pelbagai lapangan dan medan. Jika kita melihat Islam pada hari ini yang sedang diasak dari segenap penjuru baik dari segi akidahnya, dari segi akhlaknya, dari segi undang-undangnya, dari segi kedudukan Islam itu sendiri di Negara kita maka kita akan insaf bahawa tidak ada waktu untuk kita leka dengan pelbagai hiburan dan perkara lagha yang lain. Hari ini umat Islam terus dibuai dengan pelbagai pengisian yang tidak memberi sebarang faedah kepada pembangunan ilmu dan tamaddun. Seolah-olah rancangan reality TV yang pelbagai itu tidak mencukupi sehingga diadakan pula reality show untuk kanak-kanak (idola kecil) untuk mencungkil bakat-bakat penghibur dan artis dari peringkat kanak-kanak lagi. Yang lebih malang ialah ibu-bapa turut sama memberi dorongan kepada anak-anak mereka. Jelaslah musuh-musuh Islam sedang giat menyusun agenda untuk menghancurkan generasi muda dan masa depan Islam. Mereka sedang berusaha gigih agar sensitivity umat islam terus terhakis sehingga mereka tidak punya jatidiri dan pendirian lagi. Mereka dilatih supaya bergaul bebas lelaki perempuan, meleburkan semua batas-batas pergaulan, melanggar semua batas-batas akhlak sehingga tidak dapat dibezakan lagi di antara umat Islam dan bukan Islam dari sudut pakaiannya, dari sudut pergaulan dan dari sudut akhlaknya. Dalam keadaan sedemikian maka sudah pasti generasi akan datang bukan sahaja akan luntur keperibadian atau syakhsiah islam mereka bahkan mereka tidak lagi mengaitkan diri mereka dengan Islam dan apa yang diperjuangkan islam. Akhirnya mereka tidak bisa melihat apa hubungan mereka dengan umat Islam dan terputuslah mereka dari perjuangan umat Islam sejagat.

Marilah kita renung firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah “dan apakah engkau hadir ketika Yaakub didatangi tanda-tanda kematian. Dia memanggil anak-anaknya dan bertanya kepada mereka “Siapakah yang akan engkau sembah sepeninggalanku. Jawab anak-anak Yaakub ‘Kami akan sembah Tuhannya Ibrahim, tuhannya Ismail, Tuhanya Ishaq, iaitu Tuhan yang satu, dan kami akan tetap muslim.”

Surah al-Baqarah ayat 133    

أَمۡ كُنتُمۡ شُہَدَآءَ إِذۡ حَضَرَ يَعۡقُوبَ ٱلۡمَوۡتُ إِذۡ قَالَ لِبَنِيهِ مَا تَعۡبُدُونَ مِنۢ بَعۡدِى قَالُواْ نَعۡبُدُ إِلَـٰهَكَ وَإِلَـٰهَ ءَابَآٮِٕكَ إِبۡرَٲهِـۧمَ وَإِسۡمَـٰعِيلَ وَإِسۡحَـٰقَ إِلَـٰهً۬ا وَٲحِدً۬ا وَنَحۡنُ لَهُ ۥ مُسۡلِمُونَ (١٣٣)


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.
Teks khutbah disediakan oleh Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah PACE
Palestine Centre of Excellence
Apakah umat Islam yang merasakan dirinya lemah tidak sanggup meninggalkan beberapa produk cuma yang telah dikenalpasti tanpa ragu-ragu telah membantu Israel. Dalam kemewahan dan keselesaan yanhg melimpah-ruah ini umat Islam di Malaysia masih tidak sanggup untuk menggantikannya dengan banyak produk yang lain. Sedarkah kita di saat kita tidur nyenyak dalam rumah-rumah kita yang selesa dan lapang, saudara kita di Palestin kini berlindung dalam khemah-khemah dalam kedinginan musim sejuk kerana rumah mereka telah dibom oleh Israel? Sedarkah kita, ketika anak-anak kita bergembira menikmati makanan segera McDonald, anak-anak kita di Gaza mengalami kekurangan zat makanan? Apakah jawapan yang pantas kita berikan di hadapan Allah SWT nanti? Di manakah kita hendak letak pengertian hadis ‘Sesungguhnya umat Islam itu ibarat satu tubuh, jika sebahagian tubuh merasa sakit maka seluruh tubuh akan merasakan sakitnya dan tidak boleh tidur malam.? Apakah kita masih beriman dengan ayat ‘Sesungguhnya umat Islam itu bersaudara’?

Perutusan Maal Hijrah PACE (1431H)

PACE mengucapkan selamat tahun baru hijrah kepada seluruh umat Islam di Malaysia khususnya. Sebagaimana sudah menjadi tradisi setiap menjelang tahun baru maka setiap orang akan menanam azam untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan. Bersempena dengan tahun baru hijrah 1432, PACE mengajak seluruh umat Islam untuk memberi perhatian kepada umat Islam di tanah suci Al-Quds yang kini sedang menghadapi penindasan dan penjajahan. Di saat kita meletakkan sasaran untuk meningkatkan pencapaian dalam pelbagai bidang yang diceburi dan memperbaiki taraf hidup, saudara-saudara kita berhadapan dengan persoalan bagaimana untuk meneruskan kehidupan itu sendiri dalam keadaan dinafikan hak mereka yang paling asas sebagai manusia. Mereka disekat dari mendapat bekalan makanan, air bersih untuk minuman, ubat-ubatan dan bahan bakar. Mereka juga tiada jaminan keselamatan tempat tinggal kerana bila-bila masa sahaja tanah mereka akan dirampas, mereka dihalau keluar dan rumah mereka dirobohkan. Bahkan nyawa mereka sentiasa berada dalam keadaan bahaya akibat terdedah kepada serangan Israel yang boleh dilancarkan tanpa amaran dan secara tiba-tiba.

Inilah senario yang sedang dihadapi oleh rakyat Palestin di saat kita menyambut Maal Hijrah. Bagi mereka tahun baru hijrah hanya menjanjikan satu kepastian iaitu perjuangan untuk pembebasan Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa pasti diteruskan. Itulah azam yang tertanam kukuh di dalam setiap umat Palestin. Cita-cita untuk melihat tanah suci al-Quds kembali ke pangkuan umat Islam tidak pernah luput dari ingatan mereka. Bahkan inilah azam yang tidak pernah luntur dalam diri para pejuang sejak 64 tahun yang lalu. Semangat jihad yang terus membara disanubari mereka menjadi obor yang menerangi seluruh dunia Islam dan menyuntik kekuatan meski berhadapan dengan pelbagai pengkhianatan dan pembelotan dari kalangan pemimpin-pemimpin Negara Islam yang berkepentingan yang bersekongkol dengan pihak musuh. Jika diamati, setiap orang akan merasa insaf bagaimana mungkin sebuah umat yang diperangi oleh kuasa tentera yang ke empat terbesar di dunia dan mendapat sokongan padu dari kuasa besar dunia Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah dapat bertahan puluhan tahun lamanya. Bahkan Bangsa-bangsa bersatu yang sering memihak kepada kepentingan zionis kerana didalangi oleh Amerika dan sekutu-sekutunya sering gagal membela kepentingan dan hak rakyat Palestin. Apakah rahsia kekuatan mereka sehingga mereka tidak berganjak langsung dari prinsip perjuangan meskipun diasak dengan begitu hebat oleh Zionis, Negara kuasa besar bahkan regim-regim Negara Arab yang menjadi boneka kepada kepentingan Amerika.

Semua ini menuntut umat Islam di Malaysia untuk mengambil inspirasi dari satu perjuangan yang amat menakjubkan. Apakah yang mendorong satu umat yang tidak punya kekuatan tentera dan senjata untuk berhadapan dengan Israel yang mendapat bantuan hampir tiga billion USD setahun dalam bentuk pelbagai senjata terkini. Bahkan mereka bukan sahaja berhadapan dengan jet pejuang, kereta kebal, peluru berpandu, bom pintar, pesawat ‘predator’ kawalan jauh, tetapi mereka turut dihujani dengan bom fosforus putih yang diharamkan. Kemusnahan kepada nyawa, harta benda dan tempat tinggal tidak dapat dibayangkan. Tetapi semua ini hanya meningkatkan semangat juang dan menyemarakkan lagi jihad di bumi Palestin. Pastinya umat yang berjuang di atas dasar jihad yang benar tidak akan dapat ditundukkan oleh mana-mana kekuatan di bumi ini. Meskipun seluruh dunia menalakan senjatanya kepada umat yang sedemikian, mereka tidak akan mampu menumpaskan satu umat yang kekuatannya datang langsung dari Allah SWT.

Hari ini di saat rakyat Gaza sedang bergelut dengan persoalan hidup dan mati, para pejuang menyibukkan diri mereka dengan mempersiapakan generasi akan datang. Lima puluh peratus anak-anak Gaza berhadapan dengan masalah kurang zat makanan. Sebahagian besar dari mereka tidak dapat meneruskan persekolahan. Bukan sahaja bangunan sekolah sudah ranap menyembah bumi, bahkan kertas dan alat tulis juga tidak dapat dibekalkan akibat sekatan Israel dan penutupan sempadan Gaza dengan dunia luar. Namun dalam serba kekurangan dan kedaifan ini, mereka tidak pernah putus pergantungan dengan Allah SWT. Mereka tetap meletakkan harapan penuh yakin bahawa masa depan Palestin sudah dijamin di dalam Islam. Oleh itu salah satu agenda yang penting yang diberikan perhatian penuh para pejuang ialah membina generasi pelapis. Mereka ditarbiyah dengan al-Quran. Mereka ditarbiyah untuk menjadi para hufaz dan membawa al-Quran di dalam dada-dada mereka. Pada musim panas yang lalu mereka Berjaya menghasilkan 30,000 para hufaz cilik dari kalangan anak-anak lelaki dan perempuan. Sebahagian dari mereka bergelar hufaz hanya dalam tempoh tiga bulan atau lebih pendek dari itu. Program melahirkan generasi Rabbani ini akan menjamin kelangsungan jihad untuk mempertahankan tanah suci dan Masjid al-Aqsa. Dengan nukleus para rijal yang mempunyai kualiti tarbiyah imaniah ini, benteng-benteng pertahanan umat di bumi al-Quds akan terus dijamin terpelihara dari pencerobohan dan pengkhianatan golongan yang cuba mengkhianati perjuangan ini.

PACE mengajak umat Islam untuk mengimbau perjuangan umat Islam di Palestin sempena Maal Hijrah. Apakah kaitan peristiwa Hijrah Nabi SAW dengan perjuangan yang ditempa oleh umat Islam zaman ini terutama di Tanah Suci Al-Quds. Apakah hubungkait peristiwa besar di dalam perjuangan Nabi SAW 1,400 tahun yang lalu dengan kesinambungan perjuangan umat Islam pada hari ini. Pastinya peristiwa Hijrah bukan hanya satu peninggalan sejarah tetapi satu panduan yang terus relevan sepanjang zaman. Perjuangan Nabi SAW adalah kemuncak segala perjuangan di antara hak dan batil, di antara kebenaran dan kepalsuan. Allah SWT telah menjadikan resam perjuangan yang batil sentiasa berada di pihak yang kuat dari sudut zahir dan luarannya. Semua itu menjadi ujian kepada orang-orang yang beriman agar mereka tidak silau dan goyah melihat kekayaan dan kekuatan pendukong-pendukong kezaliman. Nabi SAW berhadapan dengan penindasan dan penyeksaan golongan penguasa Quraish selama 13 tahun menerajui perjuangan menegakkan kalimah Allah dan kebenaran di bumi Mekah. Mereka merupakan golongan minoriti yang sentiasa diasak oleh pemuka-pemuka Quraish yang berkuasa, berpengaruh dan kaya-raya. Golongan inilah yang memegang tampuk kekuasaan dan tidak pernah henti-henti menyakiti Rasulullah SAW dan orang-orang yang beriman. Sebahagian mereka syahid di tangan penguasa-penguasa ini dan apa yang mampu dilakukan oleh Rasulullah SAW hanyalah menyuruh para sahabatnya bersabar. Apabila semua penyeksaan dan penindasan ini tidak berjaya melemahkan keimanan maka mereka telah mengambil satu pendekatan di luar batas-batas persaudaraan bahkan di luar batas kemanusiaan. Umat Islam diboikot dan dikepung selama tiga tahun lamanya. Mereka tidak dibenarkan menghubungi dan menyambung silatur rahim meskipun dengan ahli keluarga yang terdekat. Bekalan makanan disekat sehingga ada umat Islam yang meninggal dunia akibat kebuluran. Bahkan Saidatina Khadijah RA dikatakan meninggal akibat kesan dari kekurangan makanan. Namun umat Islam tetap bertahan dan tidak sekali-kali menggadaikan keimanan mereka hanya untuk mengalas perut yang pedih menahan lapar. Mereka tetap bertahan meskipun anak-anak merintih pada waktu malam menahan lapar. Tangisan yang memilukan pada waktu malam telah mendorong orang-orang Quraish yang masih punya hati untuk membekalkan makanan secara sembunyi-sembunyi supaya tidak diketahui orang lain. Allah SWT telah menguji Rasulullah SAW sehingga kemuncak dan kemudian memberi kelegaan kepada umat Islam dengan campur tangan Allah SWT sendiri. Berakhirnya boikot rupa-rupanya menjanjikan dugaan yang lebih berat kepada Rasulullah SAW. Kematian dua orang yang paling disayangi dan yang paling kuat menyokong dan melindungi Rasulullah SaW iaitu isteri dan bapa saudaranya, Abu Talib sudah tentu meninggalkan kesan yang amat besar pada jiwa Rasulullah SAW. Dalam keadaan menanggung sedih itu Rasulullah SAW tidak berputus asa dan tetap menjalankan amanat dakwah yang dipikulkan ke atas dirinya. Kunjungannya ke Taif bukan disambut dengan baik bahkan dilempari dengan batu sehingga menanggung luka yang berat. Pada saat sedemikianlah Allah SWT memperjalankan Nabi dalam satu peristiwa yang menakjubkan iaitu Isra’ dan Mikraj. Perjalanan ke Masjid al-Aqsa dan kemudian ke Sidratul Muntaha adalah langkah pertama ke arah kemenangan yang bakal datang. Kembalinya Rasulullah SAW disusuli dengan siri-siri pertemuan dengan penduduk Yathrib. Rasulullah Saw dinanti-nantikan oleh penduduk Yathrib dan diangkat sebagai pemimpin di Madinah. Peristiwa hijrah adalah kunci kepada kemenangan ini.

Dalam konteks perjuangan rakyat Palestin pada hari ini, peristiwa hijrah adalah satu jaminan dari Allah SWT bahawa kemenangan pasti akan berpihak kepada pejuang kebenaran. Kekuatan fizikal dan sokongan antarabangsa yang dinikmati oleh Israel tidak akan melindungi regim haram itu dari kemusnahan. Sebagaimana kepungan dan boikot ke atas Rasulullah SAW gagal maka begitu juga sekatan ekonomi dan kepungan ke atas Gaza akan gagal dengan kuasa Allah SWT. Sebagaimana komplot dan persekongkolan golongan yahudi dan munafiq di Madinah begitu juga persekongkolan regim-regim Arab bersama zionis untuk menekan gerakan Hamas dan gerakan Islam di Palestin akan menemui kegagalan. Golongan Ahzab moden yang diterajui oleh Amerika Syarikat akan gagal sebagaimana gagalnya golongan Ahzab dalam peperangan Khandak. Keyakinan yang bulat inilah yang terus memercikkan api kebangkitan rakyat Palestin. Kini persoalannya ialah apakah peranan umat Islam sejagat? Apakah kita hanya sekadar menonton dan member ulasan-ulasan yang kadangkala terpisah dari realiti sebenar. Ramai umat Islam di luar sana merasa sangsi dengan janji Allah SWT. Mereka bukan sahaja mengambil sikap tidak peduli dengan apa yang menimpa tanah suci al Quds bahkan tergamak mencemuh para pejuang dengan kata-kata nista dan penghinaan. Sebabnya ialah umat Islam tidak kembali kepada persoalan dasar iaitu melihat perjuangan yang berlaku ini dalam konteks Al-Quran dan sunnah. Mereka mengukur kekuatan musuh dengan penilaian kebendaan lalu membuat kesimpulan bahawa perjuangan rakyat Palestin adalah usaha yang sia-sia. Kami menyeru seluruh umat Islam supaya kembalilah kepada Allah dan Rasulnya dalam menilai perjuangan umat Islam di Palestin. Kemenangan sebenarnya telah ditetapkan oelh Allah SWT bagi hamba-hambanya yang berjihad dengan ikhlas dan penuh keimanan. Sebagaimana yang disebut lewat hadis-hadis sahih Rasulullah SAW bahawa umat ini akan terus berjuang sehingga Allah member kemenangan mutlak kepada mereka. Apabila ditanya oleh sahabat di manakah mereka itu, dijawab oleh Rasulullah SAW, mereka itu berada di Baitul Maqdis. Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW member jaminan bahawa pengkhianatan golongan yang berkhianat tidak akan memudaratkan mereka. Mereka akan tetap menjadi golongan yang menang. Golongan ini disebut oleh Rasulullah berjuang di pintu-pintu Dimasq (Damsyik) dan pitu-pintu al-Quds (Baitul Maqdis).

Sempena Maal Hijrah 1432 ini PACE menyeru seluruh umat Islam supaya meletakkan satu azam untuk bersama di dalam jihad mempertahankan tanah suci. Umat Islam diseru memperuntukkan sebahagian dari penghasilan mereka untuk perjuangan pembebesan al-Quds. Barangsiapa yang memberi bekal kepada para mujahidin maka dia juga adalah mujahidin. Dengan hadis Nabi SAW ini, PACE mengakhiri perutusan Maal Hijrah ini dengan harapan agar seluruh umat Islam bersama berganding bahu berjuang dengan segala daya dan upaya untuk menyokong jihad di bumi Palestin.

Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah
PACE (Pusat Kecemerlangan Palestin)
1 Muharram 1431H 

Aqsa Syarif di Masjid Panchor Jaya

Bunting Palestin di dalam ruang masjid

Gerai Aqsa Syarif

Penolong Setiausaha IKRAM N.Sembilan, Hj. Abdul Malek Alias memberi ucapan

Tn. Hj. Norazmi Talib, penceramah Aqsa Syarif pada malam tersebut

Program perkongsian pengalaman misi bantuan ke Gaza diadakan di Masjid Kariah Panchor Jaya pada 13 November 2010 selepas Maghrib. Majlis dianggarkan dihadiri oleh lebih 100 orang. Ceramah disampaikan oleh Al-Akh Hj. Norazmi Talib, aktivis Aqsa Syarif Daerah Sepang dan Dato’ Dr. Musa Mohd Nordin, ahli IKRAM dan Pakar perunding Pediatrik yang baru pulang  dari misi VP5. Menarik dan membuatkan hadirin teruja ialah mereka  berasal dari Negeri Sembilan. Walaupun, tiada ahli Aqsa Syarif atau IKRAM Negeri Sembilan yang menyertai VP5 sekurang-kurangnya kedua-dua orang anak negeri ini membuatkan kita bangga dengan mereka berdua. Majlis bermula agak lewat disebabkan masalah teknikal. Walau bagaimanapun, program bermula lancar selepas masalah itu diatasi dengan menggunakan laptop Dr. Musa.  

Antara jamaah masjid yang hadir mendengar ceramah

Dato'. Dr. Musa bin Nordin, penceramah dari Viva Palestina Malaysia

Hj. Norazmi menceritakan pengalaman perjalanan beliau sebelum sampai ke Gaza. Menurut beliau, 39 buah kenderaan yang sarat dengan peralatan sekolah dan ubatan sahaja dibenarkan untuk dibawa masuk. Bermula dari Britain, mereka merentasi 5 buah negara iaitu Perancis, Italy, Greece, Turki dan Syria sebelum menaiki kapal ke Pelabuhan Al-Arish. Rata-rata rakyat di negara-negara tersebut memberikan sokongan padu kepada konvoi kemanusiaan ini. Mereka tinggal di Latakia, Syria agak lama iaitu selama 18 hari kerana menunggu kebenaran pihak kerajaan Mesir untuk memasuki Gaza. Beliau turut menyebut nama-nama insan yang hebat seperti Tony (Ireland), Pat O’Dea (NZ), Carol (Britain) yang menginsafkan beliau bagaimana insan yang bukan beragama Islam ini sanggup bersusah payah dan berkorban untuk membantu saudara seinsan mereka di gaza. Semangat dan untaian kata-kata beliau yang diselangi pelat Nogohi memberikan semangat kepada para hadirin untuk membantu saudara-saudara kita di Gaza.
Antara Tabung Palestin yang menarik

Yang Dipertua IKRAM N.Sembilan, Prof. Hj. Badlishah Sham Baharin menyampaikan cenderamata kepada pihak masjid

Dato’ Dr. Musa pula memulakan ceramah belaiu dengan mengungkapkan semula kata-kata Dr. Ismail Hanieh, Perdana Menteri Gaza iaitu “Waaddal Amanah Wanasahal Ummah Wajihadi Fillahi Haqqa Jihadi”.  Beliau sepanjang ceramahnya dengan nada yang penuh bersemangat menyatakan bahawa perjalanan mereka ke Gaza adalah perjalanan spiritual. Bangun 3.30 pagi dan dituruti dengan Qiamullail dan sebelah siangnya mempersiapkan bekalan ke Gaza. Rombongan mereka juga disertai oleh pimpinan seperti Syaikh Umar (Mauritania) dan Dr. Usamah (Kuwait) yang sentiasa memberikan sentuhan-sentuhan ruhani. Perjalanan yang mengambil masa lebih sebulan iaitu bermula 18 September 2010 dan memasuki Gaza pada 21 Oktober 2010  dan disertai oleh 400 orang sukrelawan. Perjalanan yang mereka lalui ialah sejauh 4000 batu dan sukarelawan bergilir-gilir memandu van mereka. Turut bersama mereka ialah Timbalan Speaker parlimen Algeria di mana kerajaan Algeria turut menyumbang 40 buah van “brand new”. Malaysia menyumbang sebanyak 6 buah van (3 Aqsa Syarif, 3 VPM). Juga bersama mereka ialah Syeikh Ismail dari Jordan yang berusia 83 tahun yang juga berada di atas kapal Mavi Marmara yang diserang Israel. Kata-kata seperti, “Keamanan tanpa keadilan adalah satu jenayah”, “From the mountains to the sea, Palestine will be free”, “Birruh, Biddam, Nafdiqa Ya Aqsa” memperlihatkan betapa tingginya semangat para sukarelawan dan berharap ia dapat dikongsi bersama masyarakat di malaysia agar turut sama berjuang untuk membantu Gaza dan membebaskan Al-Aqsa. Dan terakhir, penulis agak terkesan dengan kata-kata beliau bahawa mereka di sana hanyalah “Gurkha Lillahitaa’la”. Muga-muga Allah menerima amal para pejuang Gaza/Palestin sama ada yang berada di Gaza atau yang berjuang dari jauh, amin Ya rabbal Alamin. Sumbangan yang diterima pada malam tersebut adalah sebanyak RM 600.00

Pengunjung gerai Aqsa Syarif


Laporan disediakan oleh
Shamsuri Abdullah
Aqsa Syarif NS

Tuesday, November 9, 2010

Ceramah Palestin di MRSM Kuala Klawang

Tanggal 26 Oktober yang lepas Aqsa Syarif N.Sembilan telah dijemput untuk menyampaikan ceramah Palestin kepada pelajar-pelajar Tingkatan 1 hingga 3 MRSM Kuala Klawang, N.Sembilan. Aqsa Syarif N.Sembilan telah mengambil kesempatan ini membuka gerai jualan di belakang dewan besar sekolah. Program dimulakan dengan kata-kata aluan daripada pengerusi majlis sekitar jam 2.30 petang. Aqsa Syarif N.Sembilan diwakili oleh Pengerusinya, Tn. Hj. Shamsuri bin Abdullah.
Para Pelajar Mula Mengambil Tempat Duduk

Bunting Palestin yang Berjaya Menarik Minat Pelajar
Dianggar seramai 600 orang pelajar dan para guru hadir mendengar ceramah tersebut. Kutipan derma pula mencecah RM 363.30. Ceramah diakhiri dengan beberapa soalan kuiz kepada para pelajar. Hadiah berupa wang tunai telah disampaikan oleh penceramah kepada para pelajar yang berjaya menjawab soalan-soalan kuiz berkaitan Palestin.
Para Pelajar Mengunjungi Gerai Aqsa Syarif

Tn. Hj Shamsuri Memulakan Ceramah Palestin
Majlis penutup program disempurnakan dengan penyampaian tabung derma Palestin oleh Guru Penolong Kanan MRSM Kuala Klawang, Tn. Hj. Abdul Malek Alias (IKRAM K.Pilah). Semoga ceramah yang disampaikan memberi kesedaran dan manfaat kepada warga MRSM Kuala Klawang. Aqsa Syarif N.Sembilan mengucapkan ribuan terima kasih kepada warga MRSM Kuala Klawang kerana sudi menjemput kami untuk menyampaikan ceramah Palestin.

Warga MRSM Kuala Klawang Mengunjungi Gerai Jualan Aqsa Syarif

Antara Pelajar yang Berjaya Menjawab Soalan Kuiz Palestin

Hanya Pelajar Lelaki yang Menyahut Cabaran

Akhirnya Ada Juga Pelajar Perempuan yang Ingin Mencuba

Seorang Lagi Pelajar Lelaki yang Menyahut Cabaran Kuiz

Antara Pelajar Lelaki yang Hadir

Antara Pelajar Perempuan yang hadir

Guru Penolong Kanan MRSM Kuala Klawang Menyampaikan Tabung Derma kepada Pengerusi Aqsa Syarif N.Sembilan

Thursday, October 14, 2010

Mesir Beri Lampu Hijau Untuk Viva Palestina Masuk ke Gaza


Konvoi bantuan kemanusiaan Gaza, Viva Palestina, telah diberi izin oleh pemerintah Mesir untuk masuk ke pelabuhan Mediterania El Arish.

Konvoi bantuan, yang merupakan upaya kelima yang dilakukan lembaga amal yang berbasis di Inggris, Viva Palestina, diharapkan dapat meninggalkan kota pelabuhan Suriah Latakia untuk segera ke El Arish sebelum menuju ke Jalur Gaza.

Misi bantuan, yang diberi nama 'Lifeline 5' dan dipimpin oleh direktur badan amal dan mantan anggota parlemen Inggris George Galloway, bermaksud untuk memberikan bantuan kemanusiaan bagi rakyat Gaza.

Langkah ini sebagai bagian menentang semua blokade Israel terhadap udara dan laut yang telah dikenakan ke wilayah pesisir ini sejak pertengahan Juni 2007. Blokade telah menghilangkan hak dasar 1,5 juta penduduk Gaza terhadap mendapatkan makanan, bahan bakar dan keperluan lainnya.

Konvoi mencakup sekitar 40 kendaraan dari Aljazair, Maroko, Tunisia dan Mauritania dan diharapkan aka terus bertambah dari lebih dari 100 negara lain yang ikut berkontribusi yang membawa kendaraan bantuan lebih banyak lagi untuk misi kemanusiaan, menurut wartawan Press TV di Suriah.

Kairo telah membantu Tel Aviv melonggarkan pengepungan dengan menjaga perbatasan Rafah yang tertutup rapat dipersimpangan dengan Gaza, yang merupakan terminal satu-satunya yang tidak melewati Israel.

Pada bulan Januari, polisi anti huru-hara Mesir bentrok dengan para aktivis kemanusiaan pro-Palestina, melukai 55 orang di El Arish pada konvoi Viva Palestina sebelumnya

sumber dipetik dari laman web eramuslim

Thursday, September 16, 2010

Rundingan Damai Tidak Akan Menyebelahi Palestin - Utusan Malaysia

Untuk rekod sejak lebih enam dekad berlangsungnya krisis antara Palestin dan Israel, sebanyak 87 resolusi dan perjanjian anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dikeluarkan menjurus kepada keamanan bagi konflik di Asia Barat itu.

Daripada jumlah tersebut pula, kira-kira 66 resolusi dan perjanjian dikenakan veto oleh Amerika Syarikat (AS) kerana lebih berpihak kepada Palestin dan bukannya Israel.

Sedikit gambaran itu membawa kepada perbincangan selanjutnya mengenai masa depan dan harapan daripada rundingan damai Palestin-Israel yang sedang berlangsung ketika ini. Rundingan damai itu dibuka semula selepas tertangguh pada akhir 2008 ekoran serangan Israel ke atas Genting Gaza yang membunuh kira-kira 1,600 orang rakyat Palestin.

Rundingan damai yang ditaja oleh AS dan kuartet Asia Barat seperti Kesatuan Eropah (EU), Rusia dan PBB itu bermula 2 September lalu di Washington, AS. Selain Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, pertemuan itu turut disertai oleh Presiden Mesir, Hosni Mubarak dan Raja Jordan, Raja Abdullah.

Rundingan ini diharapkan mencapai kesepakatan baru dalam masa setahun sebelum perdamaian dan keamanan dalam erti kata sebenar di Asia Barat dapat dicapai kemudiannya. Namun jika rundingan damai itu dilihat dari perspektif realiti di Palestin dan Israel ketika ini, impian untuk melihat ia tercapai, sebenarnya terlalu besar.

Umum mengetahui terdapat tiga isu utama yang menghalang kejayaan rundingan damai Palestin-Israel sebelum ini selain cabaran dan kekangan lain. Isu tersebut ialah kedegilan Israel yang menceroboh tanah Palestin untuk dibangunkan penempatan baru Yahudi terutama di Tebing Barat dan Baitulmaqdis timur.

Isu kedua pula ialah status Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin dan hak pelarian rakyat Palestin untuk pulang ke negara asal mereka. Dari sudut penempatan haram misalnya, pembekuan ke atas pembukaan wilayah Yahudi di sekitar Tebing Barat dan Baitulmaqdis timur akan tamat pada 26 September ini.

Sekiranya Israel selepas tarikh itu kembali membina penempatan haram di atas tanah yang dirampas dari rakyat Palestin dan wilayah yang diduduki secara haram sejak 1967, maka rundingan damai terbaru ini tidak akan membawa sebarang makna.

Dari sudut yang lain pula, Netanyahu sendiri tidak mengemukakan cadangan yang konkrit ke arah formula baru untuk mencapai kata sepakat. Netanyahu hanya mengatakan satu penyelesaian di luar kotak mesti dicari setelah usaha damai yang dicetuskan bermula dengan Perjanjian Oslo sejak (1993) 17 tahun dahulu gagal mencapai sebarang kemajuan.

Dalam masa yang sama, kerajaan campuran yang diterajui Netanyahu terus mendesak beliau menentukan status akhir kepada kedudukan Baitul Maqdis dan pelarian Palestin. Perkara ini bagi Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (Pace), Dr. Hafidzi Mohd. Noor, adalah hakikat yang tidak akan menyebelahi Palestin.

Kerana katanya, pendirian Israel dalam kedua-dua isu ini sentiasa konsisten dan tidak akan pernah berubah iaitu Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel yang disatukan dan kekal abadi.

''Di samping itu, hak pelarian untuk pulang akan terus dinafikan kerana membenarkan mereka pulang akan merubah demografi dan konsep negara Israel itu sendiri sebagai sebuah negara Yahudi (Jewish State)," katanya.

Halangan turut kelihatan di sebelah Palestin sendiri terutama dari sudut hubungan pihak berkuasa Palestin (Fatah) dan Hamas. Seperti kata Hafidzi, hubungan di antara Fatah dan Hamas masih rapuh -- berada di atas landasan yang amat berlawanan dalam menentukan pendirian terhadap rundingan damai dengan Israel.

Sekiranya kedua-dua pihak tidak dapat bersetuju dengan hasil rundingan damai ini maka ia tidak akan memberikan sebarang harapan baru kepada terciptanya satu persetujuan yang akan mendapat dokongan nasional atau majoriti rakyat Palestin.

''Mana-mana rundingan damai yang tidak disepakati secara konsensus oleh rakyat Palestin akan menemui jalan buntu," ujar beliau. Begitu pun bagi kalangan yang optimis, sinar kedamaian dalam konflik tersebut tetap wujud meskipun tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada peranan AS, kuartet Asia Barat dan PBB seperti ketika ini.

Israel masih perlu didesak oleh pihak ketiga yang mempunyai kehendak politik yang kuat supaya akur kepada tuntutan rakyat Palestin. Seperti kata Hafidzi, masyarakat dunia boleh mengalih perhatian kepada kuasa baru untuk mengenakan tekanan ke atas Israel. Antaranya menerusi kuasa dan inisiatif masyarakat sivil.

Israel dilihat sedikit tertekan dengan gerakan oleh masyarakat sivil antarabangsa terutama selepas tragedi serangan ke atas kapal kemanusiaan Mavi Marmara sedikit masa lalu. Tekanan antarabangsa memaksa Israel sedikit akur meskipun masih lagi mempamerkan sikap angkuh terhadap misi bantuan kemanusiaan.

Sepanjang bulan ini dan November depan, beberapa misi kemanusiaan seperti "Viva Palestina 5" dan "Life Line for Gaza" akan bergerak sekali lagi ke Gaza melalui jalan darat dan laut.

Kuasa lain yang boleh membantu, tambah Hafidzi ialah negara-negara kuasa ekonomi baru seperti China, Turki dan Brazil. Negara-negara ini mempunyai mandat untuk menolak mana-mana inisiatif yang diterajui oleh kuasa besar dunia khususnya AS dalam melaksanakan agenda dan kepentingannya. Ia pernah berlaku ketika Brazil dan Turki menolak cubaan sekatan ekonomi AS ke atas Iran melalui PBB sebelum ini.

Dengan kekuatan ekonomi yang dimiliki oleh kuasa-kuasa ekonomi baru itu, maka AS tidak lagi mempunyai suara mutlak dalam menentukan hala tuju pergerakan politik antarabangsa termasuklah dasar luarnya di Asia Barat. Bahkan tambah Hafidzi, AS kini semakin tercabar dengan China yang begitu pesat berkembang dari sudut ekonominya. China yang pada dasarnya bersikap berkecuali terhadap isu Palestin pasti akan menjadi broker penting dalam menentukan arah tuju hegemoni politik di Asia Barat.

Sekali lagi Israel berada dalam keadaan yang tidak memihak kepadanya secara mutlak. ''Rakyat Palestin bakal memiliki kuasa rundingan yang lebih kuat dalam mempertahankan haknya dengan kemunculan kuasa-kuasa ekonomi baru ini. Mungkin kesannya tidak akan dilihat dalam masa yang terdekat, tetapi kedegilan dan keangkuhan Israel tidak dapat dipertahankan lagi di masa hadapan," jelas Hafidzi.

Tuesday, September 7, 2010

Perutusan Syawal Palestine Center of Excellence (PACE) 1431H

Assalamualaikum wrt bth.

SELANG beberapa hari lagi, umat Islam di seluruh dunia akan menangisi pemergian bulan Ramadhan dan akan menyambut kedatangan Shawal dengan penuh kesyukuran.

PACE mengambil peluang ini untuk mengucapkan 'Taqabalallahu minna waminkum' kepada semua kaum muslimin dan muslimat di mana jua mereka berada. PACE ingin mengajak umat Islam yang bergembira di pagi Syawal nanti supaya mengenang saudara-saudara seagama yang menyambut kedatangan syawal dengan penuh duka dan linangan air mata, khususnya umat Islam yang dilanda oleh peperangan di merata dunia, terutama di bumi Palestin. Umat Islam di sana akan menyambut kedatangan Eid-ul-Fitri buat sekian kalinya di khemah-khemah pelarian dan dalam keadaan terkepung dan terjajah. Lebih dari lima juta rakyat Palestin kini menghuni khemah-khemah pelarian di Lubnan, Syria, Jordan dan Gaza. Generasi pertama yang terusir dari tanah air mereka yang masih hidup kini menyambut Eid-ul-Fitr sebagai orang pelarian untuk kali yang ke 61.Selama enam puluh tahun mereka tidak pernah menjejak tanah air mereka dan kembali ke rumah-rumah mereka. Di saat umat Islam di Malaysia sedang teruja untuk balik ke kampung halaman masing-masing, umat Islam di Palestin hanya dapat mengimbau kenangan lalu. Bahkan sebahgian besar dari generasi ketiga yang dilahirkan di khemah-khemah pelarian langsung tidak punya gambaran sedikitpun tentang kampung halaman mereka di Palestin.

Bagi umat Islam yang berada di Gaza pula, keadaan lebih getir kerana sehingga kini mereka masih lagi berada dalam keadaan terkepung oleh regim Zionis. Mereka hidup dalam serba kedaifan dengan bekalan makanan dan ubat-ubatan yang amat terhad. Dalam keadaan ekonomi yang lumpuh dan bekalan yang terputus mereka diserang bertalu-talu oleh tentera zionis secara biadap. Sehingga kini penduduk di Gaza masih terdedah kepada serangan Israel yang boleh berlaku tanpa sebarang amaran. Setiap kali serangan berlaku mereka tidak akan mendapat sebarang perlindungan dan pembelaan dari negara-negara umat Islam yang bertetangga dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Mereka seolah-oleh menjadi objek di lapang sasar bagi tentera zionis Israel.

Rakyat Palestin di Tebing Barat dan Baitul Maqdis pula terpaksa berhadapan dengan pelbagai sekatan pergerakan. Ini termasuklah pos-pos kawalan tentera dan sekatan jalan yang diadakan secara sewenang-wenangnya. Kini sebuah tembok pemisah yang panjangnya melangkaui 800 km memisahkan rakyat Palestin dari ladang mereka, telaga air dan meyukarkan anak-anak untuk ke sekolah dan menghadkan pergerakan rakyat Palestin. Tembok konkrit yang tingginya mencecah 10 m ini dibina untuk menguasai lebih banyak wilayah dari Tebing Barat. Di samping itu projek-projek perumahan Yahudi terus bercambah di Tebing Barat dan Baitul Maqdis setelah penghuni-penghuni Arab yang bermastautin di sana diusir dan tanah-tanah mereka di rampas. Senario pembinaan penempatan haram Yahudi ini terus rancak berjalan meskipun Israel terikat dengan beberapa penjanjian damai termasuklah Konferens Annapolis pada penghujung tahun 2007 yang meletakkan syarat agar Israel menghentikan aktiviti penempatan Yahudi. Semua ini hanyalah helah untuk memastikan bahawa penyelesaian dua negara yang dicanang ke seluruh dunia tidak akan menjadi kenyataan dan mustahil untuk negara yang dicanang ke seluruh dunia tidak akan menjadi kenyataan dan mustahil untuk dilaksanakan. Impian untuk melihat negara Palestin yang merdeka akan terus tinggal impian.

Bagi umat Islam di Baitul Maqdis pula mereka terus dinafikan hak untuk menziarahi dan memakmurkan Masjid al Aqsa. Pelbagai sekatan dikenakan keatas umat Islam yang ingin menziarahi masjid. Mereka meletakkan had umur tertentu sahaja yang dibenarkan memasuki masjid termasuklah pada bulan Ramadhan. Umat Islam bersolat di perkarangan masjid dan di luar tembok al Aqsa di bawah muncung-muncung senapang tentera zionis. Penghinaan yang menyolok mata ini amat mencabar kesabaran umat Islam yang ingin memuliakan dan memakmurkan tanah suci dan masjid ketiga paling dimuliakan dalam Islam.

Inilah senario yang melatari sambutan Eid-ul-Fitri di bumi Palestin yang terjajah. Meskipun mereka berhadapan dengan pelbagai bentuk penindasan dan kezaliman serta tidak mendapat sebarang perlindungan dan pembelaan, umat Islam di Palestin tetap bersyukur kerana mereka telah dipilih di kalangan umat Islam untuk mempertahankan tanah suci ke tiga umat Islam. Mereka tidak pernah berputus asa bahkan mereka merasa amat mulia kerana berada di dalam kedudukan yang sedemikian. Mereka yakin dengan hadis Rasulullah SAW yang menyebut bahawa mereka sedang berada di bumi 'Ribat - bumi peperangan untuk mempertahankan Islam. Mereka adalah para mujahid dan mujahidah seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW lewat beberapa hadisnya. Bahkan Nabi SAW menggambarkan umat akhir zaman yang berada di Baituil Maqdis tidak akan berganjak dari kedudukan mereka dan mereka tidak akan merasa lemah meskipun di khianati (seperti yang kita saksikan kini bagaimana negara Arab yang bertetangga lebih menjaga kepentingan Israel dan AS) dan mereka akan dimenangkan oleh Allah SWT.

PACE dengan ini menyeru umat Islam di Malaysia khususnya supaya berdiri teguh di belakang perjuangan rakyat Palestin. Mereka telah mengambil tanggungjawab yang menjadi kewajipan seluruh umat Islam dan memikulnya di atas pundak-pundak mereka sehingga mereka kehilangan anak-anak, ayah, suami, isteri dan ibu yang syahid pada jalan Allah. Umat Islam yang telah dilatih untuk bermujahadah selama sebulan dalam bulan Ramadhan diseru supaya meningkatkan sokongan kepada perjuangan pembebasan al-Quds dan bumi Palestin dari cengkaman musuh-musuh zionis. Umat Islam diseru supaya menghayati semangat Ramadhan dengan menyahut seruan Allah SWT untuk berjihad pada jalanNya dengan harta dan jiwa demi mencapai taqwa dan keredhaan Allah SWT. Segala yang disumbangkan samada dalam bentuk wang ringgit, masa dan tenaga untuk menyokong pelbagai program kempen kesedaran perjuangan Palestin amat besar maknanya di dalam menjana perjuangan berterusan. Semua ini dengan izin Allah SWT akan mencipta sebab-sebab yang membawa kepada kemenangan. Baitul Maqdis akan kembali ke pangkuan umat Islam dan kezaliman dan penindasan golongan zionis akan dihapuskan dengan keadilan Islam. Sejarah kembalinya Baitul Maqdis kepada umat Islam di bawah kepimpinan Salahuddin Al-Ayyubi akan berulang. Bukan sahaja Baitul Maqdis akan kembali merdeka dari pendudukan Yahudi bahkan seluruh kemanusiaan akan menghirup udara kebebasan dan mengecap keadilan sejati.

Sehubungan dengan itu adalah dimaklumkan bahawa sekurang-kurangnya dua usaha sedang disusun untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza dalam masa yang terdekat. Yang pertama ialah misi Lifeline For Gaza yang merupakan inisiatif gabungan NGO-NGO yang berkaitan dengan isu Palestin. Ini merupakan cubaan lanjutan dari LL4G yang melibatkan kapal Mavi Marmara pada bulan Mei 2010 yang lalu. Misi kemanusiaan melalui jalan laut ini akan disertai oleh bilangan kapal yang lebih banyak dan penyertaan sukarelawan yang lebih ramai. Misi ini dijangkan akan dilancarkan sebelum akhir tahun ini

Kedua, satu lagi inisiatif yang dimulakan oleh Viva Palestina UK akan menjayakan misi Viva Palestina 5 yang melibatkan ratusan kenderaan pengangkutan dengan muatan ubat-ubatan dan keperluan asas lain. Misi kali ini turut disertai oleh Aqsa Syarif dan PACE. Aqsa Syarif menyumbang tiga dari enam buah kenderaan yang ditaja di bawah lambang VPM (Viva Palestina Malaysia). Konvoi ini akan bergerak dari london bermula pada 18 September 2010 dan akan disertai oleh sukarelawan yang bergerak dari Syria. Perancangan sedang dibuat untuk menghantar serkurang-kurangnya tujuh orang sukarelawan yang akan menyertai konvoi ini.

Orang ramai digalakkan untuk menyokong misi ini dengan memberi sumbangan kewangan melalui akaun Aqsa Syarif Bhd di akaun MBB 551575004299.

Sila maklumkan sumbangan dengan meng faks butiran (bank in slip, deposit slip atau transaksi Maybank2u ke no 03-87349636

Untuk maklumat lanjut sila hubungi ibu pejabat Aqsa Syarif di no 03-87334636

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor

Pengarah
PACE (Palestine Centre
of Excellence)

Ahli Lembaga Pengarah Aqsa Syarif

27 Ramadhan 1431H/6 September 2010