Thursday, September 16, 2010

Rundingan Damai Tidak Akan Menyebelahi Palestin - Utusan Malaysia

Untuk rekod sejak lebih enam dekad berlangsungnya krisis antara Palestin dan Israel, sebanyak 87 resolusi dan perjanjian anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dikeluarkan menjurus kepada keamanan bagi konflik di Asia Barat itu.

Daripada jumlah tersebut pula, kira-kira 66 resolusi dan perjanjian dikenakan veto oleh Amerika Syarikat (AS) kerana lebih berpihak kepada Palestin dan bukannya Israel.

Sedikit gambaran itu membawa kepada perbincangan selanjutnya mengenai masa depan dan harapan daripada rundingan damai Palestin-Israel yang sedang berlangsung ketika ini. Rundingan damai itu dibuka semula selepas tertangguh pada akhir 2008 ekoran serangan Israel ke atas Genting Gaza yang membunuh kira-kira 1,600 orang rakyat Palestin.

Rundingan damai yang ditaja oleh AS dan kuartet Asia Barat seperti Kesatuan Eropah (EU), Rusia dan PBB itu bermula 2 September lalu di Washington, AS. Selain Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, pertemuan itu turut disertai oleh Presiden Mesir, Hosni Mubarak dan Raja Jordan, Raja Abdullah.

Rundingan ini diharapkan mencapai kesepakatan baru dalam masa setahun sebelum perdamaian dan keamanan dalam erti kata sebenar di Asia Barat dapat dicapai kemudiannya. Namun jika rundingan damai itu dilihat dari perspektif realiti di Palestin dan Israel ketika ini, impian untuk melihat ia tercapai, sebenarnya terlalu besar.

Umum mengetahui terdapat tiga isu utama yang menghalang kejayaan rundingan damai Palestin-Israel sebelum ini selain cabaran dan kekangan lain. Isu tersebut ialah kedegilan Israel yang menceroboh tanah Palestin untuk dibangunkan penempatan baru Yahudi terutama di Tebing Barat dan Baitulmaqdis timur.

Isu kedua pula ialah status Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin dan hak pelarian rakyat Palestin untuk pulang ke negara asal mereka. Dari sudut penempatan haram misalnya, pembekuan ke atas pembukaan wilayah Yahudi di sekitar Tebing Barat dan Baitulmaqdis timur akan tamat pada 26 September ini.

Sekiranya Israel selepas tarikh itu kembali membina penempatan haram di atas tanah yang dirampas dari rakyat Palestin dan wilayah yang diduduki secara haram sejak 1967, maka rundingan damai terbaru ini tidak akan membawa sebarang makna.

Dari sudut yang lain pula, Netanyahu sendiri tidak mengemukakan cadangan yang konkrit ke arah formula baru untuk mencapai kata sepakat. Netanyahu hanya mengatakan satu penyelesaian di luar kotak mesti dicari setelah usaha damai yang dicetuskan bermula dengan Perjanjian Oslo sejak (1993) 17 tahun dahulu gagal mencapai sebarang kemajuan.

Dalam masa yang sama, kerajaan campuran yang diterajui Netanyahu terus mendesak beliau menentukan status akhir kepada kedudukan Baitul Maqdis dan pelarian Palestin. Perkara ini bagi Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (Pace), Dr. Hafidzi Mohd. Noor, adalah hakikat yang tidak akan menyebelahi Palestin.

Kerana katanya, pendirian Israel dalam kedua-dua isu ini sentiasa konsisten dan tidak akan pernah berubah iaitu Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel yang disatukan dan kekal abadi.

''Di samping itu, hak pelarian untuk pulang akan terus dinafikan kerana membenarkan mereka pulang akan merubah demografi dan konsep negara Israel itu sendiri sebagai sebuah negara Yahudi (Jewish State)," katanya.

Halangan turut kelihatan di sebelah Palestin sendiri terutama dari sudut hubungan pihak berkuasa Palestin (Fatah) dan Hamas. Seperti kata Hafidzi, hubungan di antara Fatah dan Hamas masih rapuh -- berada di atas landasan yang amat berlawanan dalam menentukan pendirian terhadap rundingan damai dengan Israel.

Sekiranya kedua-dua pihak tidak dapat bersetuju dengan hasil rundingan damai ini maka ia tidak akan memberikan sebarang harapan baru kepada terciptanya satu persetujuan yang akan mendapat dokongan nasional atau majoriti rakyat Palestin.

''Mana-mana rundingan damai yang tidak disepakati secara konsensus oleh rakyat Palestin akan menemui jalan buntu," ujar beliau. Begitu pun bagi kalangan yang optimis, sinar kedamaian dalam konflik tersebut tetap wujud meskipun tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada peranan AS, kuartet Asia Barat dan PBB seperti ketika ini.

Israel masih perlu didesak oleh pihak ketiga yang mempunyai kehendak politik yang kuat supaya akur kepada tuntutan rakyat Palestin. Seperti kata Hafidzi, masyarakat dunia boleh mengalih perhatian kepada kuasa baru untuk mengenakan tekanan ke atas Israel. Antaranya menerusi kuasa dan inisiatif masyarakat sivil.

Israel dilihat sedikit tertekan dengan gerakan oleh masyarakat sivil antarabangsa terutama selepas tragedi serangan ke atas kapal kemanusiaan Mavi Marmara sedikit masa lalu. Tekanan antarabangsa memaksa Israel sedikit akur meskipun masih lagi mempamerkan sikap angkuh terhadap misi bantuan kemanusiaan.

Sepanjang bulan ini dan November depan, beberapa misi kemanusiaan seperti "Viva Palestina 5" dan "Life Line for Gaza" akan bergerak sekali lagi ke Gaza melalui jalan darat dan laut.

Kuasa lain yang boleh membantu, tambah Hafidzi ialah negara-negara kuasa ekonomi baru seperti China, Turki dan Brazil. Negara-negara ini mempunyai mandat untuk menolak mana-mana inisiatif yang diterajui oleh kuasa besar dunia khususnya AS dalam melaksanakan agenda dan kepentingannya. Ia pernah berlaku ketika Brazil dan Turki menolak cubaan sekatan ekonomi AS ke atas Iran melalui PBB sebelum ini.

Dengan kekuatan ekonomi yang dimiliki oleh kuasa-kuasa ekonomi baru itu, maka AS tidak lagi mempunyai suara mutlak dalam menentukan hala tuju pergerakan politik antarabangsa termasuklah dasar luarnya di Asia Barat. Bahkan tambah Hafidzi, AS kini semakin tercabar dengan China yang begitu pesat berkembang dari sudut ekonominya. China yang pada dasarnya bersikap berkecuali terhadap isu Palestin pasti akan menjadi broker penting dalam menentukan arah tuju hegemoni politik di Asia Barat.

Sekali lagi Israel berada dalam keadaan yang tidak memihak kepadanya secara mutlak. ''Rakyat Palestin bakal memiliki kuasa rundingan yang lebih kuat dalam mempertahankan haknya dengan kemunculan kuasa-kuasa ekonomi baru ini. Mungkin kesannya tidak akan dilihat dalam masa yang terdekat, tetapi kedegilan dan keangkuhan Israel tidak dapat dipertahankan lagi di masa hadapan," jelas Hafidzi.

Tuesday, September 7, 2010

Perutusan Syawal Palestine Center of Excellence (PACE) 1431H

Assalamualaikum wrt bth.

SELANG beberapa hari lagi, umat Islam di seluruh dunia akan menangisi pemergian bulan Ramadhan dan akan menyambut kedatangan Shawal dengan penuh kesyukuran.

PACE mengambil peluang ini untuk mengucapkan 'Taqabalallahu minna waminkum' kepada semua kaum muslimin dan muslimat di mana jua mereka berada. PACE ingin mengajak umat Islam yang bergembira di pagi Syawal nanti supaya mengenang saudara-saudara seagama yang menyambut kedatangan syawal dengan penuh duka dan linangan air mata, khususnya umat Islam yang dilanda oleh peperangan di merata dunia, terutama di bumi Palestin. Umat Islam di sana akan menyambut kedatangan Eid-ul-Fitri buat sekian kalinya di khemah-khemah pelarian dan dalam keadaan terkepung dan terjajah. Lebih dari lima juta rakyat Palestin kini menghuni khemah-khemah pelarian di Lubnan, Syria, Jordan dan Gaza. Generasi pertama yang terusir dari tanah air mereka yang masih hidup kini menyambut Eid-ul-Fitr sebagai orang pelarian untuk kali yang ke 61.Selama enam puluh tahun mereka tidak pernah menjejak tanah air mereka dan kembali ke rumah-rumah mereka. Di saat umat Islam di Malaysia sedang teruja untuk balik ke kampung halaman masing-masing, umat Islam di Palestin hanya dapat mengimbau kenangan lalu. Bahkan sebahgian besar dari generasi ketiga yang dilahirkan di khemah-khemah pelarian langsung tidak punya gambaran sedikitpun tentang kampung halaman mereka di Palestin.

Bagi umat Islam yang berada di Gaza pula, keadaan lebih getir kerana sehingga kini mereka masih lagi berada dalam keadaan terkepung oleh regim Zionis. Mereka hidup dalam serba kedaifan dengan bekalan makanan dan ubat-ubatan yang amat terhad. Dalam keadaan ekonomi yang lumpuh dan bekalan yang terputus mereka diserang bertalu-talu oleh tentera zionis secara biadap. Sehingga kini penduduk di Gaza masih terdedah kepada serangan Israel yang boleh berlaku tanpa sebarang amaran. Setiap kali serangan berlaku mereka tidak akan mendapat sebarang perlindungan dan pembelaan dari negara-negara umat Islam yang bertetangga dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Mereka seolah-oleh menjadi objek di lapang sasar bagi tentera zionis Israel.

Rakyat Palestin di Tebing Barat dan Baitul Maqdis pula terpaksa berhadapan dengan pelbagai sekatan pergerakan. Ini termasuklah pos-pos kawalan tentera dan sekatan jalan yang diadakan secara sewenang-wenangnya. Kini sebuah tembok pemisah yang panjangnya melangkaui 800 km memisahkan rakyat Palestin dari ladang mereka, telaga air dan meyukarkan anak-anak untuk ke sekolah dan menghadkan pergerakan rakyat Palestin. Tembok konkrit yang tingginya mencecah 10 m ini dibina untuk menguasai lebih banyak wilayah dari Tebing Barat. Di samping itu projek-projek perumahan Yahudi terus bercambah di Tebing Barat dan Baitul Maqdis setelah penghuni-penghuni Arab yang bermastautin di sana diusir dan tanah-tanah mereka di rampas. Senario pembinaan penempatan haram Yahudi ini terus rancak berjalan meskipun Israel terikat dengan beberapa penjanjian damai termasuklah Konferens Annapolis pada penghujung tahun 2007 yang meletakkan syarat agar Israel menghentikan aktiviti penempatan Yahudi. Semua ini hanyalah helah untuk memastikan bahawa penyelesaian dua negara yang dicanang ke seluruh dunia tidak akan menjadi kenyataan dan mustahil untuk negara yang dicanang ke seluruh dunia tidak akan menjadi kenyataan dan mustahil untuk dilaksanakan. Impian untuk melihat negara Palestin yang merdeka akan terus tinggal impian.

Bagi umat Islam di Baitul Maqdis pula mereka terus dinafikan hak untuk menziarahi dan memakmurkan Masjid al Aqsa. Pelbagai sekatan dikenakan keatas umat Islam yang ingin menziarahi masjid. Mereka meletakkan had umur tertentu sahaja yang dibenarkan memasuki masjid termasuklah pada bulan Ramadhan. Umat Islam bersolat di perkarangan masjid dan di luar tembok al Aqsa di bawah muncung-muncung senapang tentera zionis. Penghinaan yang menyolok mata ini amat mencabar kesabaran umat Islam yang ingin memuliakan dan memakmurkan tanah suci dan masjid ketiga paling dimuliakan dalam Islam.

Inilah senario yang melatari sambutan Eid-ul-Fitri di bumi Palestin yang terjajah. Meskipun mereka berhadapan dengan pelbagai bentuk penindasan dan kezaliman serta tidak mendapat sebarang perlindungan dan pembelaan, umat Islam di Palestin tetap bersyukur kerana mereka telah dipilih di kalangan umat Islam untuk mempertahankan tanah suci ke tiga umat Islam. Mereka tidak pernah berputus asa bahkan mereka merasa amat mulia kerana berada di dalam kedudukan yang sedemikian. Mereka yakin dengan hadis Rasulullah SAW yang menyebut bahawa mereka sedang berada di bumi 'Ribat - bumi peperangan untuk mempertahankan Islam. Mereka adalah para mujahid dan mujahidah seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW lewat beberapa hadisnya. Bahkan Nabi SAW menggambarkan umat akhir zaman yang berada di Baituil Maqdis tidak akan berganjak dari kedudukan mereka dan mereka tidak akan merasa lemah meskipun di khianati (seperti yang kita saksikan kini bagaimana negara Arab yang bertetangga lebih menjaga kepentingan Israel dan AS) dan mereka akan dimenangkan oleh Allah SWT.

PACE dengan ini menyeru umat Islam di Malaysia khususnya supaya berdiri teguh di belakang perjuangan rakyat Palestin. Mereka telah mengambil tanggungjawab yang menjadi kewajipan seluruh umat Islam dan memikulnya di atas pundak-pundak mereka sehingga mereka kehilangan anak-anak, ayah, suami, isteri dan ibu yang syahid pada jalan Allah. Umat Islam yang telah dilatih untuk bermujahadah selama sebulan dalam bulan Ramadhan diseru supaya meningkatkan sokongan kepada perjuangan pembebasan al-Quds dan bumi Palestin dari cengkaman musuh-musuh zionis. Umat Islam diseru supaya menghayati semangat Ramadhan dengan menyahut seruan Allah SWT untuk berjihad pada jalanNya dengan harta dan jiwa demi mencapai taqwa dan keredhaan Allah SWT. Segala yang disumbangkan samada dalam bentuk wang ringgit, masa dan tenaga untuk menyokong pelbagai program kempen kesedaran perjuangan Palestin amat besar maknanya di dalam menjana perjuangan berterusan. Semua ini dengan izin Allah SWT akan mencipta sebab-sebab yang membawa kepada kemenangan. Baitul Maqdis akan kembali ke pangkuan umat Islam dan kezaliman dan penindasan golongan zionis akan dihapuskan dengan keadilan Islam. Sejarah kembalinya Baitul Maqdis kepada umat Islam di bawah kepimpinan Salahuddin Al-Ayyubi akan berulang. Bukan sahaja Baitul Maqdis akan kembali merdeka dari pendudukan Yahudi bahkan seluruh kemanusiaan akan menghirup udara kebebasan dan mengecap keadilan sejati.

Sehubungan dengan itu adalah dimaklumkan bahawa sekurang-kurangnya dua usaha sedang disusun untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza dalam masa yang terdekat. Yang pertama ialah misi Lifeline For Gaza yang merupakan inisiatif gabungan NGO-NGO yang berkaitan dengan isu Palestin. Ini merupakan cubaan lanjutan dari LL4G yang melibatkan kapal Mavi Marmara pada bulan Mei 2010 yang lalu. Misi kemanusiaan melalui jalan laut ini akan disertai oleh bilangan kapal yang lebih banyak dan penyertaan sukarelawan yang lebih ramai. Misi ini dijangkan akan dilancarkan sebelum akhir tahun ini

Kedua, satu lagi inisiatif yang dimulakan oleh Viva Palestina UK akan menjayakan misi Viva Palestina 5 yang melibatkan ratusan kenderaan pengangkutan dengan muatan ubat-ubatan dan keperluan asas lain. Misi kali ini turut disertai oleh Aqsa Syarif dan PACE. Aqsa Syarif menyumbang tiga dari enam buah kenderaan yang ditaja di bawah lambang VPM (Viva Palestina Malaysia). Konvoi ini akan bergerak dari london bermula pada 18 September 2010 dan akan disertai oleh sukarelawan yang bergerak dari Syria. Perancangan sedang dibuat untuk menghantar serkurang-kurangnya tujuh orang sukarelawan yang akan menyertai konvoi ini.

Orang ramai digalakkan untuk menyokong misi ini dengan memberi sumbangan kewangan melalui akaun Aqsa Syarif Bhd di akaun MBB 551575004299.

Sila maklumkan sumbangan dengan meng faks butiran (bank in slip, deposit slip atau transaksi Maybank2u ke no 03-87349636

Untuk maklumat lanjut sila hubungi ibu pejabat Aqsa Syarif di no 03-87334636

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor

Pengarah
PACE (Palestine Centre
of Excellence)

Ahli Lembaga Pengarah Aqsa Syarif

27 Ramadhan 1431H/6 September 2010