Untuk rekod sejak lebih enam dekad berlangsungnya krisis antara Palestin dan Israel, sebanyak 87 resolusi dan perjanjian anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dikeluarkan menjurus kepada keamanan bagi konflik di Asia Barat itu.
Daripada jumlah tersebut pula, kira-kira 66 resolusi dan perjanjian dikenakan veto oleh Amerika Syarikat (AS) kerana lebih berpihak kepada Palestin dan bukannya Israel.
Sedikit gambaran itu membawa kepada perbincangan selanjutnya mengenai masa depan dan harapan daripada rundingan damai Palestin-Israel yang sedang berlangsung ketika ini. Rundingan damai itu dibuka semula selepas tertangguh pada akhir 2008 ekoran serangan Israel ke atas Genting Gaza yang membunuh kira-kira 1,600 orang rakyat Palestin.
Rundingan damai yang ditaja oleh AS dan kuartet Asia Barat seperti Kesatuan Eropah (EU), Rusia dan PBB itu bermula 2 September lalu di Washington, AS. Selain Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, pertemuan itu turut disertai oleh Presiden Mesir, Hosni Mubarak dan Raja Jordan, Raja Abdullah.
Rundingan ini diharapkan mencapai kesepakatan baru dalam masa setahun sebelum perdamaian dan keamanan dalam erti kata sebenar di Asia Barat dapat dicapai kemudiannya. Namun jika rundingan damai itu dilihat dari perspektif realiti di Palestin dan Israel ketika ini, impian untuk melihat ia tercapai, sebenarnya terlalu besar.
Umum mengetahui terdapat tiga isu utama yang menghalang kejayaan rundingan damai Palestin-Israel sebelum ini selain cabaran dan kekangan lain. Isu tersebut ialah kedegilan Israel yang menceroboh tanah Palestin untuk dibangunkan penempatan baru Yahudi terutama di Tebing Barat dan Baitulmaqdis timur.
Isu kedua pula ialah status Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin dan hak pelarian rakyat Palestin untuk pulang ke negara asal mereka. Dari sudut penempatan haram misalnya, pembekuan ke atas pembukaan wilayah Yahudi di sekitar Tebing Barat dan Baitulmaqdis timur akan tamat pada 26 September ini.
Sekiranya Israel selepas tarikh itu kembali membina penempatan haram di atas tanah yang dirampas dari rakyat Palestin dan wilayah yang diduduki secara haram sejak 1967, maka rundingan damai terbaru ini tidak akan membawa sebarang makna.
Dari sudut yang lain pula, Netanyahu sendiri tidak mengemukakan cadangan yang konkrit ke arah formula baru untuk mencapai kata sepakat. Netanyahu hanya mengatakan satu penyelesaian di luar kotak mesti dicari setelah usaha damai yang dicetuskan bermula dengan Perjanjian Oslo sejak (1993) 17 tahun dahulu gagal mencapai sebarang kemajuan.
Dalam masa yang sama, kerajaan campuran yang diterajui Netanyahu terus mendesak beliau menentukan status akhir kepada kedudukan Baitul Maqdis dan pelarian Palestin. Perkara ini bagi Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (Pace), Dr. Hafidzi Mohd. Noor, adalah hakikat yang tidak akan menyebelahi Palestin.
Kerana katanya, pendirian Israel dalam kedua-dua isu ini sentiasa konsisten dan tidak akan pernah berubah iaitu Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel yang disatukan dan kekal abadi.
''Di samping itu, hak pelarian untuk pulang akan terus dinafikan kerana membenarkan mereka pulang akan merubah demografi dan konsep negara Israel itu sendiri sebagai sebuah negara Yahudi (Jewish State)," katanya.
Halangan turut kelihatan di sebelah Palestin sendiri terutama dari sudut hubungan pihak berkuasa Palestin (Fatah) dan Hamas. Seperti kata Hafidzi, hubungan di antara Fatah dan Hamas masih rapuh -- berada di atas landasan yang amat berlawanan dalam menentukan pendirian terhadap rundingan damai dengan Israel.
Sekiranya kedua-dua pihak tidak dapat bersetuju dengan hasil rundingan damai ini maka ia tidak akan memberikan sebarang harapan baru kepada terciptanya satu persetujuan yang akan mendapat dokongan nasional atau majoriti rakyat Palestin.
''Mana-mana rundingan damai yang tidak disepakati secara konsensus oleh rakyat Palestin akan menemui jalan buntu," ujar beliau. Begitu pun bagi kalangan yang optimis, sinar kedamaian dalam konflik tersebut tetap wujud meskipun tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada peranan AS, kuartet Asia Barat dan PBB seperti ketika ini.
Israel masih perlu didesak oleh pihak ketiga yang mempunyai kehendak politik yang kuat supaya akur kepada tuntutan rakyat Palestin. Seperti kata Hafidzi, masyarakat dunia boleh mengalih perhatian kepada kuasa baru untuk mengenakan tekanan ke atas Israel. Antaranya menerusi kuasa dan inisiatif masyarakat sivil.
Israel dilihat sedikit tertekan dengan gerakan oleh masyarakat sivil antarabangsa terutama selepas tragedi serangan ke atas kapal kemanusiaan Mavi Marmara sedikit masa lalu. Tekanan antarabangsa memaksa Israel sedikit akur meskipun masih lagi mempamerkan sikap angkuh terhadap misi bantuan kemanusiaan.
Sepanjang bulan ini dan November depan, beberapa misi kemanusiaan seperti "Viva Palestina 5" dan "Life Line for Gaza" akan bergerak sekali lagi ke Gaza melalui jalan darat dan laut.
Kuasa lain yang boleh membantu, tambah Hafidzi ialah negara-negara kuasa ekonomi baru seperti China, Turki dan Brazil. Negara-negara ini mempunyai mandat untuk menolak mana-mana inisiatif yang diterajui oleh kuasa besar dunia khususnya AS dalam melaksanakan agenda dan kepentingannya. Ia pernah berlaku ketika Brazil dan Turki menolak cubaan sekatan ekonomi AS ke atas Iran melalui PBB sebelum ini.
Dengan kekuatan ekonomi yang dimiliki oleh kuasa-kuasa ekonomi baru itu, maka AS tidak lagi mempunyai suara mutlak dalam menentukan hala tuju pergerakan politik antarabangsa termasuklah dasar luarnya di Asia Barat. Bahkan tambah Hafidzi, AS kini semakin tercabar dengan China yang begitu pesat berkembang dari sudut ekonominya. China yang pada dasarnya bersikap berkecuali terhadap isu Palestin pasti akan menjadi broker penting dalam menentukan arah tuju hegemoni politik di Asia Barat.
Sekali lagi Israel berada dalam keadaan yang tidak memihak kepadanya secara mutlak. ''Rakyat Palestin bakal memiliki kuasa rundingan yang lebih kuat dalam mempertahankan haknya dengan kemunculan kuasa-kuasa ekonomi baru ini. Mungkin kesannya tidak akan dilihat dalam masa yang terdekat, tetapi kedegilan dan keangkuhan Israel tidak dapat dipertahankan lagi di masa hadapan," jelas Hafidzi.
No comments:
Post a Comment