Inilah senario yang sedang dihadapi oleh rakyat Palestin di saat kita menyambut Maal Hijrah. Bagi mereka tahun baru hijrah hanya menjanjikan satu kepastian iaitu perjuangan untuk pembebasan Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa pasti diteruskan. Itulah azam yang tertanam kukuh di dalam setiap umat Palestin. Cita-cita untuk melihat tanah suci al-Quds kembali ke pangkuan umat Islam tidak pernah luput dari ingatan mereka. Bahkan inilah azam yang tidak pernah luntur dalam diri para pejuang sejak 64 tahun yang lalu. Semangat jihad yang terus membara disanubari mereka menjadi obor yang menerangi seluruh dunia Islam dan menyuntik kekuatan meski berhadapan dengan pelbagai pengkhianatan dan pembelotan dari kalangan pemimpin-pemimpin Negara Islam yang berkepentingan yang bersekongkol dengan pihak musuh. Jika diamati, setiap orang akan merasa insaf bagaimana mungkin sebuah umat yang diperangi oleh kuasa tentera yang ke empat terbesar di dunia dan mendapat sokongan padu dari kuasa besar dunia Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah dapat bertahan puluhan tahun lamanya. Bahkan Bangsa-bangsa bersatu yang sering memihak kepada kepentingan zionis kerana didalangi oleh Amerika dan sekutu-sekutunya sering gagal membela kepentingan dan hak rakyat Palestin. Apakah rahsia kekuatan mereka sehingga mereka tidak berganjak langsung dari prinsip perjuangan meskipun diasak dengan begitu hebat oleh Zionis, Negara kuasa besar bahkan regim-regim Negara Arab yang menjadi boneka kepada kepentingan Amerika.
Semua ini menuntut umat Islam di Malaysia untuk mengambil inspirasi dari satu perjuangan yang amat menakjubkan. Apakah yang mendorong satu umat yang tidak punya kekuatan tentera dan senjata untuk berhadapan dengan Israel yang mendapat bantuan hampir tiga billion USD setahun dalam bentuk pelbagai senjata terkini. Bahkan mereka bukan sahaja berhadapan dengan jet pejuang, kereta kebal, peluru berpandu, bom pintar, pesawat ‘predator’ kawalan jauh, tetapi mereka turut dihujani dengan bom fosforus putih yang diharamkan. Kemusnahan kepada nyawa, harta benda dan tempat tinggal tidak dapat dibayangkan. Tetapi semua ini hanya meningkatkan semangat juang dan menyemarakkan lagi jihad di bumi Palestin. Pastinya umat yang berjuang di atas dasar jihad yang benar tidak akan dapat ditundukkan oleh mana-mana kekuatan di bumi ini. Meskipun seluruh dunia menalakan senjatanya kepada umat yang sedemikian, mereka tidak akan mampu menumpaskan satu umat yang kekuatannya datang langsung dari Allah SWT.
Hari ini di saat rakyat Gaza sedang bergelut dengan persoalan hidup dan mati, para pejuang menyibukkan diri mereka dengan mempersiapakan generasi akan datang. Lima puluh peratus anak-anak Gaza berhadapan dengan masalah kurang zat makanan. Sebahagian besar dari mereka tidak dapat meneruskan persekolahan. Bukan sahaja bangunan sekolah sudah ranap menyembah bumi, bahkan kertas dan alat tulis juga tidak dapat dibekalkan akibat sekatan Israel dan penutupan sempadan Gaza dengan dunia luar. Namun dalam serba kekurangan dan kedaifan ini, mereka tidak pernah putus pergantungan dengan Allah SWT. Mereka tetap meletakkan harapan penuh yakin bahawa masa depan Palestin sudah dijamin di dalam Islam. Oleh itu salah satu agenda yang penting yang diberikan perhatian penuh para pejuang ialah membina generasi pelapis. Mereka ditarbiyah dengan al-Quran. Mereka ditarbiyah untuk menjadi para hufaz dan membawa al-Quran di dalam dada-dada mereka. Pada musim panas yang lalu mereka Berjaya menghasilkan 30,000 para hufaz cilik dari kalangan anak-anak lelaki dan perempuan. Sebahagian dari mereka bergelar hufaz hanya dalam tempoh tiga bulan atau lebih pendek dari itu. Program melahirkan generasi Rabbani ini akan menjamin kelangsungan jihad untuk mempertahankan tanah suci dan Masjid al-Aqsa. Dengan nukleus para rijal yang mempunyai kualiti tarbiyah imaniah ini, benteng-benteng pertahanan umat di bumi al-Quds akan terus dijamin terpelihara dari pencerobohan dan pengkhianatan golongan yang cuba mengkhianati perjuangan ini.
PACE mengajak umat Islam untuk mengimbau perjuangan umat Islam di Palestin sempena Maal Hijrah. Apakah kaitan peristiwa Hijrah Nabi SAW dengan perjuangan yang ditempa oleh umat Islam zaman ini terutama di Tanah Suci Al-Quds. Apakah hubungkait peristiwa besar di dalam perjuangan Nabi SAW 1,400 tahun yang lalu dengan kesinambungan perjuangan umat Islam pada hari ini. Pastinya peristiwa Hijrah bukan hanya satu peninggalan sejarah tetapi satu panduan yang terus relevan sepanjang zaman. Perjuangan Nabi SAW adalah kemuncak segala perjuangan di antara hak dan batil, di antara kebenaran dan kepalsuan. Allah SWT telah menjadikan resam perjuangan yang batil sentiasa berada di pihak yang kuat dari sudut zahir dan luarannya. Semua itu menjadi ujian kepada orang-orang yang beriman agar mereka tidak silau dan goyah melihat kekayaan dan kekuatan pendukong-pendukong kezaliman. Nabi SAW berhadapan dengan penindasan dan penyeksaan golongan penguasa Quraish selama 13 tahun menerajui perjuangan menegakkan kalimah Allah dan kebenaran di bumi Mekah. Mereka merupakan golongan minoriti yang sentiasa diasak oleh pemuka-pemuka Quraish yang berkuasa, berpengaruh dan kaya-raya. Golongan inilah yang memegang tampuk kekuasaan dan tidak pernah henti-henti menyakiti Rasulullah SAW dan orang-orang yang beriman. Sebahagian mereka syahid di tangan penguasa-penguasa ini dan apa yang mampu dilakukan oleh Rasulullah SAW hanyalah menyuruh para sahabatnya bersabar. Apabila semua penyeksaan dan penindasan ini tidak berjaya melemahkan keimanan maka mereka telah mengambil satu pendekatan di luar batas-batas persaudaraan bahkan di luar batas kemanusiaan. Umat Islam diboikot dan dikepung selama tiga tahun lamanya. Mereka tidak dibenarkan menghubungi dan menyambung silatur rahim meskipun dengan ahli keluarga yang terdekat. Bekalan makanan disekat sehingga ada umat Islam yang meninggal dunia akibat kebuluran. Bahkan Saidatina Khadijah RA dikatakan meninggal akibat kesan dari kekurangan makanan. Namun umat Islam tetap bertahan dan tidak sekali-kali menggadaikan keimanan mereka hanya untuk mengalas perut yang pedih menahan lapar. Mereka tetap bertahan meskipun anak-anak merintih pada waktu malam menahan lapar. Tangisan yang memilukan pada waktu malam telah mendorong orang-orang Quraish yang masih punya hati untuk membekalkan makanan secara sembunyi-sembunyi supaya tidak diketahui orang lain. Allah SWT telah menguji Rasulullah SAW sehingga kemuncak dan kemudian memberi kelegaan kepada umat Islam dengan campur tangan Allah SWT sendiri. Berakhirnya boikot rupa-rupanya menjanjikan dugaan yang lebih berat kepada Rasulullah SAW. Kematian dua orang yang paling disayangi dan yang paling kuat menyokong dan melindungi Rasulullah SaW iaitu isteri dan bapa saudaranya, Abu Talib sudah tentu meninggalkan kesan yang amat besar pada jiwa Rasulullah SAW. Dalam keadaan menanggung sedih itu Rasulullah SAW tidak berputus asa dan tetap menjalankan amanat dakwah yang dipikulkan ke atas dirinya. Kunjungannya ke Taif bukan disambut dengan baik bahkan dilempari dengan batu sehingga menanggung luka yang berat. Pada saat sedemikianlah Allah SWT memperjalankan Nabi dalam satu peristiwa yang menakjubkan iaitu Isra’ dan Mikraj. Perjalanan ke Masjid al-Aqsa dan kemudian ke Sidratul Muntaha adalah langkah pertama ke arah kemenangan yang bakal datang. Kembalinya Rasulullah SAW disusuli dengan siri-siri pertemuan dengan penduduk Yathrib. Rasulullah Saw dinanti-nantikan oleh penduduk Yathrib dan diangkat sebagai pemimpin di Madinah. Peristiwa hijrah adalah kunci kepada kemenangan ini.
Dalam konteks perjuangan rakyat Palestin pada hari ini, peristiwa hijrah adalah satu jaminan dari Allah SWT bahawa kemenangan pasti akan berpihak kepada pejuang kebenaran. Kekuatan fizikal dan sokongan antarabangsa yang dinikmati oleh Israel tidak akan melindungi regim haram itu dari kemusnahan. Sebagaimana kepungan dan boikot ke atas Rasulullah SAW gagal maka begitu juga sekatan ekonomi dan kepungan ke atas Gaza akan gagal dengan kuasa Allah SWT. Sebagaimana komplot dan persekongkolan golongan yahudi dan munafiq di Madinah begitu juga persekongkolan regim-regim Arab bersama zionis untuk menekan gerakan Hamas dan gerakan Islam di Palestin akan menemui kegagalan. Golongan Ahzab moden yang diterajui oleh Amerika Syarikat akan gagal sebagaimana gagalnya golongan Ahzab dalam peperangan Khandak. Keyakinan yang bulat inilah yang terus memercikkan api kebangkitan rakyat Palestin. Kini persoalannya ialah apakah peranan umat Islam sejagat? Apakah kita hanya sekadar menonton dan member ulasan-ulasan yang kadangkala terpisah dari realiti sebenar. Ramai umat Islam di luar sana merasa sangsi dengan janji Allah SWT. Mereka bukan sahaja mengambil sikap tidak peduli dengan apa yang menimpa tanah suci al Quds bahkan tergamak mencemuh para pejuang dengan kata-kata nista dan penghinaan. Sebabnya ialah umat Islam tidak kembali kepada persoalan dasar iaitu melihat perjuangan yang berlaku ini dalam konteks Al-Quran dan sunnah. Mereka mengukur kekuatan musuh dengan penilaian kebendaan lalu membuat kesimpulan bahawa perjuangan rakyat Palestin adalah usaha yang sia-sia. Kami menyeru seluruh umat Islam supaya kembalilah kepada Allah dan Rasulnya dalam menilai perjuangan umat Islam di Palestin. Kemenangan sebenarnya telah ditetapkan oelh Allah SWT bagi hamba-hambanya yang berjihad dengan ikhlas dan penuh keimanan. Sebagaimana yang disebut lewat hadis-hadis sahih Rasulullah SAW bahawa umat ini akan terus berjuang sehingga Allah member kemenangan mutlak kepada mereka. Apabila ditanya oleh sahabat di manakah mereka itu, dijawab oleh Rasulullah SAW, mereka itu berada di Baitul Maqdis. Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW member jaminan bahawa pengkhianatan golongan yang berkhianat tidak akan memudaratkan mereka. Mereka akan tetap menjadi golongan yang menang. Golongan ini disebut oleh Rasulullah berjuang di pintu-pintu Dimasq (Damsyik) dan pitu-pintu al-Quds (Baitul Maqdis).
Sempena Maal Hijrah 1432 ini PACE menyeru seluruh umat Islam supaya meletakkan satu azam untuk bersama di dalam jihad mempertahankan tanah suci. Umat Islam diseru memperuntukkan sebahagian dari penghasilan mereka untuk perjuangan pembebesan al-Quds. Barangsiapa yang memberi bekal kepada para mujahidin maka dia juga adalah mujahidin. Dengan hadis Nabi SAW ini, PACE mengakhiri perutusan Maal Hijrah ini dengan harapan agar seluruh umat Islam bersama berganding bahu berjuang dengan segala daya dan upaya untuk menyokong jihad di bumi Palestin.
Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah
PACE (Pusat Kecemerlangan Palestin)
1 Muharram 1431H
No comments:
Post a Comment