Monday, October 29, 2012

Khutbah Aidul Adha 1433H

Hari ini adalah hari besar anugerah Allah SWT kepada umat Islam. Rasulullah SAW telah bersabda ketika menyaksikan kaum Aus dan Khazraj merayakan hari kebesaran mereka. Lalu Rasulullah SAW mengatakan bahawa Allah telah menganugerahkan kepada umat Islam dua hari kebesaran yang lebih baik iaitu Aidul Fitri dan Aidil Adha

Ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud:

“Dari Anas bin Malik, Nabi datang ke Madinah dan melihat mereka merayakan dua hari kebesaran. Baginda bertanya, “Apakah dua hari ini? Mereka menjawab, “kami biasa merayakan dua hari ini pada zaman Jahiliyah. Rasulullah SAW bersabda “Allah telah menggantikannya dengan dua hari yang lebih baik: Aidil Fitri dan Aidil Fitri.

Aidul Adha mengambil sempena ‘udhiyah yang bermaksud qurban. Ia juga disebut sebagai yaum-un-Nahar (Hari di mana ibadah Qurban dilaksanakan)

Imam Bukhari meriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari yang bermaksud :

“Dari al-Barra bin Azib: Aku mendengar Rasulullah SAW menyampaikan khutbah. Baginda bersabda, “Perkara pertama yang perlu dilakukan pada hari ini ialah mendirikan solat, dan selepas itu, kamu menyembelih haiwan qurban; dan sesiapa yang melakukan ini berjalan di atas sunnah ku”

Ibadah qurban bukan sahaja merupakan sunnah Nabi SAW bahkan sunnah Nabi terdahulu sejak dari Adam AS. Syariat ibadah qurban pertama kali diwajibkan kepada anak-anak Adam AS sebagai ujian kepada mereka. Seerah Nabi Adam AS menunjukkan Habil telah Berjaya di dalam ujian ini sedang Qabil gagal dalam ujian tersebut. Syariat yang dilaksanakan pada hari ini adalah dikaitkan dengan peristiwa penyembelihan Nabi ismail AS oleh bapanya Khalilullah Nabi Ibrahim AS.

Ibadah qurban yang dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS membawa pengajaran yang cukup banyak kepada kita sebagai umat islam. Pertama ibadah qurban ini bukanlah merupakan satu ibadah yang berbentuk peribadi sifatnya kerana ia melibatkan dukungan seluruh institusi keluarga Ibrahim AS. Apabila Nabi Ibrahim AS bermimpi yang merupakan perentah Allah kepadanya untuk mengorbankan Ismail maka dia telah menanyakan pandangan isterinya Siti Hajar. Nabi Ibrahim bukan berhasrat untuk mendapat persetujuan isterinya terlebih dahulu sebelum melaksanakan perentah Allah SWT tetapi untuk menegaskan bahawa ini adalah perentah Allah yang tidak mungkin dibantah. Lalu dijawab oleh Siti Hajar sekiranya ia merupakan satu ketetapan Allah maka laksanakanlah. Ini juga jawapan yang diberikan oleh Siti Hajar ketika beliau ditinggalkan bersama Ismail yang masih bayi di bumi gersang Mekah.

Siti Hajar bertanya kepada Nabi Ibrahim AS, Mengapa tinggalkan aku di sini. Beliau melihat di sekeliling gurun yang kontang dan batu-batan keras di sekeliling tanpa ada tanda-tanda kehadiran manusia. Nabi Ibrahim AS sudah bulat hatinya, dia hanya mendiamkan diri, dan tidak ada sepatah perkataanpun yang harus keluar dari mulut baginda yang menandakan bantahan terhadap perentah Allah SWT. “Adakah ini satu perentah dari Allah?” Siti Hajar terus bertanya. Nabi Ibrahim tetap mendiamkan diri. Siti Hajar pasrah dan berkata ‘Kalau begitu Allah SWT akan memelihara kami”, beliau pasrah dan tunduk kepada Rabbul Jalil

Nabi Ibrahim AS juga bertanya kepada Nabi ismail tentang pandangannya. Jawapan yang diterima oleh Nabi Ibrahim AS cukup menyenangkan hatinya. Ini adalah bukti bahawa ibadah qurban adalah satu amal yang sepatutnya mendapat dokongan dan penglibatan setiap ahli keluarga yang serius untuk mengabdikan dirinya kepada Allah SWT.

Sesungguhnya perentah qurban yang dijalankan oleh Nabi Ibrahim AS terhadap anak kesayangannya amat berat bagi seorang insan biasa. Sepanjang usianya Nabi Ibrahim AS berdoa agar dikurniakan seorang zuriat.

Allah swt berfirman :

“Dan apabila Ibrahim berkata: Tuhanku! Jadikanlah negeri ini , negeri yang aman, dan jauhkanlah aku berserta anak cucuku agar tidak menyembah berhala. Wahai Tuhan, berhala-berhala itu telah menyesatkan banyak dari manusia. Siapa yang mengikutiku, maka orang itu termasuk golonganku, dan siapa yang mendurhakaiku, maka Engkau Maha Pengampun, maha Penyayang. Wahai Tuhan, sesungguhnya aku telah menempatkan sebagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, Ya Tuhan agar mereka melaksanakan solat, maka jadikanlah hati sebagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur”

Surah Ibrahim: 35 – 37.

Riwayat mengatakan baginda hanya dikurniakan seorang putera ketika usianya sudah lanjut, mencecah 90 tahun.

“Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku dihari tuaku Ismail dan Ishaq. Sungguh Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa. Wahai Tuhanku, jadikanlah aku dan anak-cucuku orang yang tetap melaksanakan solat, wahai Tuhan kami, perkenankanlah doaku”
Surah Ibrahim: 39 – 40

Apabila Ismail sudah berusia lebih kurang 10 tahun, sudah berputik kasih sayang yang mendalam terhadap seorang anak remaja yang diharapkan akan meneruskan usaha dakwahnya, diperentahkan Allah pula untuk dikurbankan. Dan Nabi Ibrahim AS sebagai seorang manusia adalah seorang insan biasa yang tidak terkecuali dari rasa kasih, sedih dan pilu dengan apa yang dihadapinya. Tetapi sekali lagi perentah Allah mengatasi segala-galanya, maka semua perasaan itu harus dikorbankan demi membuktikan kasih-sayang tertinggi dan perentah tertinggi yang pasti dijunjung ialah perentah Allah SWT. Ini juga adalah pengajaran penting bagi kita umat Islam pada hari ini. Apabila datang perentah Allah, maka segala perkara adalah kecil dan pasti dilaksanakan bagaimana besar sekalipun rintangan yang dihadapi.

Pertarungan yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim AS belum berakhir. Dalam perjalanan untuk menjalankan perentah tersebut, baginda dihasut oleh Iblis laknatullah agar menimbangkan semula tindakannya. Tetapi setiap kali diseru Nabi Ibrahim AS melontarnya dengan batu. Tiga kali iblis dilontar dengan batu dan tidak sedikitpun Nabi Ibrahim AS goyah hati untuk meneruskan niatnya. Inilah yang diabadikan dalam manasik haji di dalam amalan melontar tiga jamrah. Ia adalah satu gambaran apabila seseorang hendak berqurban maka pasti syaitan akan menyelinap masuk dan membisikkan kata-kata pujuk rayu agar kita membatalkan niat untuk berkorban. Pengajarannya ialah ‘lempari’ bisikan itu dan membulatkan hati untuk melaksanakan perentah Allah tanpa sedikitpun merasa ragu.

Apabila sampai ke tempat penyembelihan maka Nabi Ibrahim AS telah menyembelih Nabi ismail AS. Diriwayatkan pisau telahpun mencecah batang leher Ismail AS dan sekonyong-konyong itu Allah menggantikannya dengan seekor qibas. Ini adalah hadiah bagi orang yang yakin dengan perentah Allah, yakin bahawa disebalik perentah Allah yang cukup berat itu tersimpan sebuah hikmah dan nikmat yang cukup besar. Keyakinan ini hanya dapat dirasai oleh orang yang bulat keimanannya kepada Allah SWT. Maka ibadah qurban yang kita lakukan pada hari ini adalah satu latihan untuk memupuk keimanan sejati dan keyakinan yang tidak berbelah bagi terhadap Allah SWT. Ia adalah satu bentuk persediaan untuk melahirkan sifat komando, iaitu bersiap sedia untuk menjalankan perentah Allah dalam semua situasi. Apabila datang perentah Allah untuk infaq maka tanpa tangguh-tangguh lagi kita akan melaksanakannya.

“Bersegeralah kamu kepada keampunan Allah dan syurgaNya yang seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa iaitu mereka yang
membelanjakan hartanya dalam keadaan lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan”

Surah Ali Imran: 133 – 134.

“Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan maupun dengan rasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”

Surah at-Taubah: 41

“Diwajibkan ke atas kamu qital (peperangan) meski kamu membencinya. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah maha tahu sedang kamu tidak mengetahui”

Surah al-Baqarah: 216

Bagaimana lagi kita hendak melaksanakan perentah Allah di atas jika di dalam diri belum terlatih sifat bersedia untuk berkorban harta dalam keadaan kesempitan, berkorban rasa rehat dan keselesaan untuk beramal ketika kita merasa berat, dan berperang dalam keadaan hati membencinya?
  
Para Jemaah yang dirahmati Allah.

Ibadah qurban yang bakal kita sempurnakan selepas solat eid adalah satu bentuk yang simbolik bahawa kita akan berikrar untuk berqurban demi meninggikan syariat Allah dan menjunjung perentah Allah dalam semua keadaan. Kerana itu ia merupakan sunat muaqaddah, sunat yang diberatkan. Bagi setengah mazahib ibadah qurban menjadi fardhu. Menurut Imam Abu Hanifah ibadah qurban difardhukan bagi mereka yang berkemampuan. Imam Malik turut sependapat dalam hal ini. Imam Syafii, Imam Ahmad dan Imam Abu Yusuf dari mazahib Hanafi berpendapat ia adalah sunat muaqqad (sunat yang dituntut dan diberatkan). Perbezaan pendapat ini tidak seharusnya menjadi isu. Apapun pegangan kita, namun jangan lupa ia adalah satu sunnah yang sangat diutamakan oleh Rasulullah SAW. Sebagaimana sabda Nabi,
 “barangsiapa melakukan itu (ibadah qurban) maka ia berada di atas sunnahku”
  
Marilah mulai tahun ini dan seterusnya kita membuat resolusi untuk memberi galakan kepada seluruh ahli keluarga supaya melakukan ibadah qurban dan memberikan perhatian yang cukup besar kea rah perlaksanaannya dalam keluarga. Latihlah anak-anak supaya menabung dan dapat melaksanakan ibadah qurban pada masa akan datang. Jika anak-anak kita sanggup menitipkan wang sakunya untuk membeli sebuah handphone yang mahal atau computer games maka tidak ada sebab kenapa mereka tidak boleh menabung untuk amal yang sangat besar maknanya ini untuk memupuk sifat cintakan agama Allah.

Hari ini tuntutan untuk umat Islam berkorban sangat besar. Dalam dunia tanpa sempadan, berqurban adalah sumber kekuatan umat ini dalam menghadapi pelbagai mehnah dan ujian Allah. Umat Islam diperangi oleh kuasa-kuasa besar, rakyat Palestin di Gaza dikepung hampir enam tahun lamanya. Tidak ada bekalan makanan yang dibenarkan masuk, begitu juga ubat-ubatan, air bersih dan bahanapi. Mereka diserang dengan penuh biadap oleh zionis Israel dan saat ini mereka hanya tinggal dalam khemah dalam suasana musim sejuk yang menggigit tulang kerana tidak ada bahan binaan yang dibenarkan masuk untuk membaik pulih rumah-rumah mereka yang telah musnah dibom oleh Israel.
  
Alhamdulillah, kini perjuangan rakyat Palestin mula memasuki fasa baru. Regim-regim Arab yang selama ini bersekongkol dengan musuh-musuh umat Islam tumbang satu demi satu. Regim-regim Arab yang berjiran dengan Negara Palestin yang terjajah sebelum ini telah menambah derita rakyat Palestin. Mereka bukan melegakan sebaliknya tunduk kepada Israel dan pelindungnya Amerika Syarikat untuk mengenakan pelbagai tekanan dan kezaliman berterusan kepada umat Islam di Palestin. Selama hampir lima tahun Gaza dikepung dari semua arah. Rafah sebagai satu-satunya laluan keluar masuk jalan darat ke Mesir tertutup rapat dan hanya dibuka secara terhad untuk sehari dua dalam sebulan dengan pelbagai syarat tidak menasabah kepada rakyat Palestin untuk menyeberang masuk ke Mesir bagi mendapatkan barang-barang asas dan keperluan harian. Tumbangnya diktator Arab yang mencengkam rakyatnya sendiri adalah satu bukti bahawa kezaliman yang dilakukan ke atas rakyat Palestin akan berakhir.

Pengorbanan yang dilakukan oleh umat Islam pada dua tahun kebelakangan ini amat memberangsangkan. Bantuan kewangan yang datang mencurah-curah dari rakyat Malaysia khususnya umat Islam untuk meringankan beban saudara-saudaranya Palestin adalah bukti pertautan hati umat Islam. Pada misi kemanusiaan yang diterajui oleh Aqsa Syarif pada bulan Ramadhan dan Syawal yang lepas iaitu melalui misi A2G8  ataupun Misi ke 8 Aqsa Syarif ke Gaza, di mana saya salah seorang daripada peserta misi itu, rakyat Malaysia telah menyalurkan sumbangan dalam bentuk pelbagai pelaksanaan projek lestari (kilang roti, ladang ternakan lembu, bantuan modal untuk pinjaman micro credit (Qardhul Hassan), projek Back to School, projek iftar Ramadhan, Projek Ramadhan Food Package, Pembinaan Musolla, Projek membina semula rumah-rumah penduduk miskin dan lain – lain. Jumlah yang disumbangkan dalam misi tersebut mencecah RM2.8 juta. Bahkan dalam tempoh hampir tiga tahun rakyat Malaysia telah menyalurkan lebih dari RM9 juta kepada rakyat Palestin dengan dimudah-cara oleh Aqsa Syarif.

Meskipun kita amat bersyukur dengan perkembangan ini, namun umat islam tidak bolih berpuas hati dan harus meningkatkan lagi usaha untuk mengeluarkan rakyat Palestin dari kezaliman zionis yang mencengkam. Rejim Israel masih terus melakukan pencerobohan demi pencerobohan, membina lebih banyak penempatan haram Yahudi di Baitul maqdis timur dan Tebing barat yang dijajah pada tahun 1967. Israel terus berdolak-dalih untuk melaksanakan penyelesaian dua negara ‘two state solution’ yang dijadikan umpan kepada dunia supaya terus mempercayai ‘kesungguhan’ Israel. Tembok pemisah yang menceroboh jauh ke dalam wilayah yang diduduki di Tebing barat dan hampir mengepung Baitul Maqdis dari semua arah terus dibina di atas tanah rakyat Palestin, menghalang mereka dari mengerjakan ladang-ladang zaitun yang mereka warisi sejak ratusan tahun. Anak-anak mereka terhalang dari meneruskan persekolahan kerana tembok menghalang perjalanan mereka untuk ke sekolah.

Semua ini menuntut seluruh dunia Islam merenung sedalam-dalamnya implikasi tuntutan ibadah qurban yang disyariatkan pada hari Raya Eid-ul-adha. Apakah umat Islam telah menghayati makna ibadah qurban yang dilakukan saban tahun setiap tibanya Eid-ul-adha. Sudah tibalah waktunya umat Islam membuat satu lonjakan untuk menterjemahkan ibadah qurban melepasi sekadar satu ‘ritual’ atau ibadah khusus. Sepatutnya ia membekas dijiwa untuk umat Islam bangkit dan menyahut perentah Allah dalam menunaikan tuntutan jihad sebagaimana keluarga Ibrahim mengorbankan anaknya yang paling disayangi demi mentaati arahan Allah SWT. Dalam nada yang sama umat islam harus bersedia untuk mengorbankan masanya, tenaganya, harta dan sumber-sumber yang dimilikinya, mengerah pelbagai usaha untuk perjuangan pembebasan tanah suci Palestin

Pada hari ini kita melihat masyarakat antarabangsa semakin memahami pencerobohan-pencerobohan yang dilakukan oleh Israel ke atas hak asasi rakyat Palestin. Mereka menjalankan kempen-kempen boikot barangan yang menyokong ekonomi Israel.  Kempen ini mendapat sokongan yang semakin besar di Amerika, Negara-negara EU (Europe) dan Australia. Malah beberapa buah institusi pengajian tinggi dan university di USA telah memutuskan untuk mengalihkan pelaburan mereka dari syarikat-syarikat yang dikenal pasti menyokong ekonomi Israel. British Universiti turut mengusulkan untuk memboikot university-universiti Israel. Kempen boikot Israel di negara-negara umat Islam perlu terus dilonjakkan dan umat Islam dan rakyat Malaysia harus menyahut kempen boikot barangan yang memberi sokongan ekonomi kepada Israel. Boikot adalah pengorbanan yang amat kecil dan melatih diri, anak – anak dan keluarga untuk menyahut seruan pengorbanan yang lebih besar yang mana kemuncaknya ialah berjihad dengan harta dan jiwa raga untuk membebaskan bumi Palestin dan Tanah seci baitul Maqdis.

Pengorbanan umat islam untuk membela rakyat Palestin adalah sangat dititik beratkan kerana bumi Palestin adalah bumi anbiya’, bumi yang penuh keberkatan, bumi di mana
berlakunya peristiwa besar isra’ dan mikraj dan tempat yang akan menyaksikan pertarungan terakhir di antara hak dan batil menjelang hari kiamat.

Para Jemaah yg di hormati Allah,

Begitu juga Umat Islam di Syria yang dizalimi oleh Rejim Bashar Assad. Mereka telah diperangi oleh kerajaan zalim Bashar semenjak hampir dua tahun kini. Puluhan ribu telah dibunuh dengan kejam dan ratusan ribu lagi sedang berlindung di khemah-khemah pelarian di sempadan Turki dan bakal berhadapan dengan musim sejuk. Bagaimanakah keadaan mereka yang hidup dalam serba kepayahan dan dicengkam ketakutan. Bagaimana pula dengan nasib saudara-saudara Islam kita di Arakan, Myanmar. Umat Islam Rohingya terus dinafikan hak mereka bahkan diburu dan dibunuh semahunya oleh kaum Rekhine dan pihak kerajaan Myanmar yang merestui bahkan turut mengambil bahagian membunuh umat Islam dengan kejam. Umat Islam di Iraq juga terus menjadi sasaran kumpulan bersenjata Syiah. Penderitaan umat islam di Kashmir,  Mindanao, di Afghanistan, di Sudan dan di Somalia masih berpanjangan. Begitu juga umat Islam yang miskin seperti di Kemboja, Vietnam, Sri Lanka dan Thailand juga wajar mendapat perhatian utama umat Islam di Malaysia dalam melaksanakan ibadah qurban.

Akhir sekali ibadah qurban ini adalah persediaan untuk melakukan qurban yang paling tinggi darjatnya iaitu berkorban jiwa raga demi mempertahankan Islam.

Tercatat di dalam seerah selepas peperangan Uhud, pasukan Nabi yang menderita kekalahan di mana 70 orang mujahid syahid di medan, mereka telah ditahan oleh seorang wanita yang bertanya tentang berita pertempuran. Lalu disampaikan berita sedih bahawa wanita itu sudah kehilangan suami, ayah dan anaknya di Uhud. Reaksi wanita ini ialah ‘Bagaimana keadaan Rasululah SAW? Bila diberitakan sahabat Rasulullah terselamat kecuali luka sedikit maka wanita ini berkata ‘Segala perkara adalah kecil asalkan Rasulullah terpelihara.’

 Apakah kita juga sanggup untuk mengungkap perkataan ini ‘semua perkara adalah kecil asalkan Islam terus teguh dan dakwah terpelihara’

 Allah SWT berfirman dalam surah as-saff.

‘Wahai orang-orang yang beriman, sukakah kamu kuberitahu perniagaan yang menyelamatkan kamu dari azab yang pedih. Iaitu kamu beriman dengan Allah dan hari akhir dan kamu berjihad pada jalannya dengan harta-harta kamu dan jiwa raga kamu, itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui’

Surah as-Saff: 10 – 11

Dr. Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi Aqsa Syarif 





Monday, August 27, 2012

Perutusan Eid-ul Fitri Pengerusi Aqsa Syarif (1433H)

Perutusan Eid-ul Fitri Pengerusi Aqsa Syarif (1433H)


Assalamualaikum wrt bth.

Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan 'Taqabalallahu minna waminkum' kepada semua kaum muslimin dan muslimat di mana jua mereka berada. Aqsa Syarif dan seluruh jentera penggerak dan sukarelawannya ingin mengajak umat Islam yang bergembira di pagi Syawal nanti supaya mengenang saudara-saudara seagama yang menyambut kedatangan syawal dengan penuh duka dan linangan air mata, khususnya umat Islam yang dilanda oleh peperangan di merata dunia terutama di Syria, bumi Palestin dan di Rohingya. Lebih 10 juta rakyat Palestin akan menyambut kedatangan Eid-ul-Fitri buat sekian kalinya di khemah-khemah pelarian dan dalam keadaan terkepung dan terjajah. Lebih dari lima juta rakyat Palestin kini menghuni khemah-khemah pelarian di Lubnan, Syria, Jordan dan Gaza. Generasi pertama yang terusir dari tanah air mereka yang masih hidup kini menyambut Eid-ul-Fitr sebagai orang pelarian untuk kali yang ke 64. Selama enam puluh tahun mereka tidak pernah menjejak tanah air mereka dan kembali ke rumah-rumah mereka. Di saat umat Islam di Malaysia sedang teruja untuk balik ke kampung halaman masing-masing, umat Islam di Palestin hanya dapat mengimbau kenangan lalu. Bahkan sebahgian besar dari generasi ketiga yang dilahirkan di khemah-khemah pelarian langsung tidak punya gambaran sedikitpun tentang kampung halaman mereka di Palestin.

Bagi umat Islam yang berada di Gaza pula, keadaan lebih getir kerana sehingga kini mereka masih lagi berada dalam keadaan terkepung oleh regim Zionis. Mereka hidup dalam serba kedaifan dengan bekalan makanan dan ubat-ubatan yang amat terhad. Mereka juga seringkali bergelap kerana terputus bekalan elektrik akibat kekurangan bahan api yang disekat oleh Israel. Dalam keadaan ekonomi yang lumpuh dan bekalan yang terputus mereka diserang bertalu-talu oleh tentera zionis secara biadap. Sehingga kini penduduk di Gaza masih terdedah kepada serangan Israel yang boleh berlaku tanpa sebarang amaran. Setiap kali serangan berlaku mereka tidak akan mendapat sebarang perlindungan dan pembelaan dari negara-negara umat Islam yang bertetangga dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Mereka seolah oleh menjadi objek di lapang sasar bagi tentera zionis Israel.

Rakyat Palestin di Tebing Barat dan Baitul Maqdis pula terpaksa berhadapan dengan pelbagai sekatan pergerakan. Ini termasuklah pos-pos kawalan tentera dan sekatan jalan yang diadakan secara sewenang-wenangnya. Kini sebuah tembok pemisah yang panjangnya melangkaui 800 km memisahkan rakyat Palestin dari ladang mereka, telaga air dan meyukarkan anak-anak untuk ke sekolah dan menghadkan pergerakan rakyat Palestin. Tembok konkrit yang tingginya mencecah 10 m ini dibina untuk menguasai lebih banyak wilayah dari Tebing Barat. Di samping itu projek-projek perumahan Yahudi terus bercambah di Tebing Barat dan Baitul Maqdis setelah penghuni-penghuni Arab yang bermastautin di sana diusir dan tanah-tanah mereka di rampas. Senario pembinaan penempatan haram Yahudi ini terus rancak berjalan meskipun Israel terikat dengan beberapa penjanjian damai termasuklah Konferens Annapolis pada penghujung tahun 2007 yang meletakkan syarat agar Israel menghentikan aktiviti penempatan Yahudi. Semua ini hanyalah helah untuk memastikan bahawa penyelesaian dua negara yang dicanang ke seluruh dunia tidak akan menjadi kenyataan dan mustahil untuk dilaksanakan. Impian untuk melihat negara Palestin yang merdeka akan terus tinggal impian.

Bagi umat Islam di Baitul Maqdis pula mereka terus dinafikan hak untuk menziarahi dan memakmurkan Masjid al Aqsa. Pelbagai sekatan dikenakan keatas umat Islam yang ingin menziarahi masjid. Mereka meletakkan had umur tertentu sahaja yang dibenarkan memasuki masjid termasuklah pada bulan Ramadhan. Umat Islam bersolat di perkarangan masjid dan di luar tembok al Aqsa di bawah muncung-muncung senapang tentera zionis. Penghinaan yang menyolok mata ini amat mencabar kesabaran umat Islam yang ingin memuliakan dan memakmurkan tanah suci dan masjid ketiga paling dimuliakan dalam Islam.

Inilah senario yang melatari sambutan Eid-ul-Fitri di bumi Palestin yang terjajah. Meskipun mereka berhadapan dengan pelbagai bentuk penindasan dan kezaliman serta tidak mendapat sebarang perlindungan dan pembelaan, umat Islam di Palestin tetap bersyukur kerana mereka telah dipilih di kalangan umat Islam untuk mempertahankan tanah suci ke tiga umat Islam. Mereka tidak pernah berputus asa bahkan mereka merasa amat mulia kerana berada di dalam kedudukan yang sedemikian. Mereka yakin dengan hadis Rasulullah SAW yang menyebut bahawa mereka sedang berada di bumi 'Ribat - bumi peperangan untuk mempertahankan Islam. Mereka adalah para mujahid dan mujahidah seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW lewat beberapa hadisnya. Bahkan Nabi SAW menggambarkan umat akhir zaman yang berada di Baituil Maqdis tidak akan berganjak dari kedudukan mereka dan mereka tidak akan merasa lemah meskipun di khianati. 

Aqsa Syarif kini amat bersyukur dengan sokongan rakyat Malaysia untuk membantu rakyat Palestin samada di Gaza atau di Baitul Maqdis. Alhamdulillah, hari Raya Eid-ul Fitri pada tahun ini akan disambut oleh 39 sukarelawan Aqsa Syarif yang dipimpin oleh Prof Madya Ust Hasanuddin Muhd Yunus di bumi Gaza. Sukarelawan yang menyertai misi A2G8 kini bersama-sama NGO-NGO Palestin lantikan Aqsa Syarif di Gaza mengagih-agihkan pelbagai bentuk bantuan kepada penduduk Gaza berupa Ramadan Gift pack, iftar, agihan bantuan persekolahan, bungkusan sumbangan Aidil Fitri untuk para pesakit, bantuan kepada mangsa yang tercedera dan mengalami kecacatan akibat serangan Isreal dan bantuan membaik pulih rumah keluarga miskin. Beberapa projek baru seperti kilang roti kedua, pembinaan pusat kesihatan, melengkapkan beberapa sekolah dengan kemudahan musolla, pembinaan pusat komuniti wanita, suntikan modal tambahan untuk projek mikro kredit dan modal permulaan projek village industri Malaysia-Palestin juga dilaksanakan di bawah inisiatif misi A2G8. Alhamdulillah sumbangan dan projek-projek ini melibatkan sumbangan hampir RM 3 juta dari rakyat Malaysia melalui Aqsa Syarif. Ini adalah antara bukti umat Islam di Malaysia khususnya berdiri teguh di belakang perjuangan rakyat Palestin. Rakyat Malaysia insaf bahawa saudara-saudara mereka di Palestin telah mengambil tanggungjawab seluruh umat Islam dan memikulnya di atas pundak-pundak mereka sehingga mereka kehilangan anak-anak, ayah, suami, isteri dan ibu yang syahid pada jalan Allah.

Sesuai dengan pencapaian yang amat memberangsangkan ini, maka Aqsa Syarif menyeru umat Islam yang telah dilatih untuk bermujahadah selama sebulan dalam bulan Ramadhan  supaya meningkatkan sokongan kepada perjuangan pembebasan al-Quds dan bumi Palestin dari cengkaman musuh-musuh zionis. Hidupkanlah semangat Ramadhan dengan menyahut seruan Allah SWT untuk berjihad pada jalanNya dengan harta dan jiwa demi mencapai taqwa dan keredhaan Allah SWT. Segala yang disumbangkan samada dalam bentuk wang ringgit, masa dan tenaga untuk menyokong pelbagai program kempen kesedaran perjuangan Palestin amat besar maknanya di dalam menjana perjuangan berterusan. Semua ini dengan izin Allah SWT akan mencipta sebab-sebab yang membawa kepada kemenangan. Baitul Maqdis akan kembali ke pangkuan umat Islam dan kezaliman dan penindasan golongan zionis akan dihapuskan dengan keadilan Islam. Sejarah kembalinya Baitul Maqdis kepada umat Islam di bawah kepimpinan Salahuddin Al-Ayyubi akan berulang. Bukan sahaja Baitul Maqdis akan kembali merdeka dari pendudukan Yahudi bahkan seluruh kemanusiaan akan menghirup udara kebebasan dan mengecap keadilan sejati.

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi
Lembaga Pemegang Amanah Aqsa Syarif
1 Shawal 1433H/19 Ogos 2012

Saturday, March 31, 2012

Memperingati Kesyahidan Syeikh Ahmad Yasin pada 22 Mac 2012 yang lalu


Aqsa Syarif mengajak umat Islam di seluruh dunia untuk mengenang satu peristiwa tragis yang berlaku pada 22 Mac 2004 di mana pada tarikh tersebut Syeikh Ahmad Yassin, seorang tokoh mujahid Palestin menemui syahidnya. Setelah lapan tahun berlalu nama Syeikh Ahmad Yassin as-Syahid tetap harum dan terus hidup di dalam jiwa rakyat Palestin dan umat Islam yang tidak pernah berputus asa di dalam meneruskan jihad untuk membebaskan Masjid al-Aqsa, Baitul Maqdis dan bumi Palestin yang diberkati.
 
Syeikh Ahmad Yassin telah menggariskan beberapa prinsip yang terus memberi kekuatan kepada umat Islam untuk menggalas tanggungjawab jihad di bumi Palestin. Di antara prinsip perjuangan yang sering beliau ucapkan ialah ‘Kami telah memilih jalan ini (jalan jihad) dan ianya akan berakhir dengan syahid atau kemenangan’. Itulah pilihan yang ada bagi mereka yang menyahut seruan jihad untuk membebaskan al-Aqsa. Tidak ada pilihan ketiga iaitu perundingan damai dan tolak ansur seperti yang sedang giat ditaja oleh golongan yang tidak yakin dengan jalan jihad. Golongan ini sanggup tunduk kepada tekanan Amerika dan kuasa-kuasa besar dan bertolak ansur dengan rejim Zionis Israel yang hanya mempunyai satu agenda iaitu mengekalkan pendudukan haram ke atas bumi Palestin dan mengambil alih Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa untuk tujuan-tujuan keji dan permusuhan.
Prinsip yang digariskan oleh Syeikh Ahmad Yassin terbukti tetap dipertahankan sehingga kini. Meski Israel terus melaksanakan operasi memburu pejuang-pejuang HAMAS dan pejuang-pejuang Palestin lainnya, kebangkitan (intifadah) tidak pernah terpadam dari jiwa dan sanubari rakyat Palestin. Bahkan semangat intifadhah terus membara meski rakyat Palestin khususnya di Gaza terus menerus berhadapan dengan kepungan Israel, sekatan ekonomi dan penutupan sempadan dari semua arah samada jalan darat, laut dan udara. Syekh Ahmad Yassin menegaskan ‘Waktu akan membuktikan bahawa siri-siri pembunuhan ini tidak akan memusnahkan HAMAS. Pemimpin HAMAS mengharapkan syahid dan tidak takut kepada kematian. Jihad akan diteruskan dan kebangkitan akan terus disemarakkan sehingga kami mencapai kemenangan atau syahid kerananya.’
Syeikh Ahmad Yassin juga meletakkan satu lagi prinsip yang penting untuk dihayati iaitu mengekalkan kesatuan di kalangan umat Palestin yang berjuang menentang Israel. Meskipun HAMAS dan barisan pejuang Palestin berhadapan dengan kelompok-kelompok yang diterajui oleh PNA (Pihak Berkuasa Palestin) dengan FATAH sebagai fraksi terbesarnya, Syeikh Ahmad Yassin tetap menegaskan musuh umat Islam dan rakyat Palestin ialah Israel. Maka dengan itu segala pergeseran dan perseteruan di kalangan rakyat Palestin sendiri hendaklah dielakkan seboleh mungkin. Namun PNA yang diterajui oleh Yasser Arafat (al-Marhum) telah bertindak bagi pihak Israel dan memenjarakan pejuang-pejuang pembebasan Palestin yang tulen. Semua ini dilakukan kerana tunduk kepada kehendak Israel. Yasser Arafat yang sejak-awal tidak pernah mahu berkompromi dengan Israel telah menjadi hamba yang setia kepada rejim Zionis dan melaksanakan apa sahaja arahan Israel atas nama mempertahankan persetujuan damai yang dimeterai di Oslo pada tahun 1993.
Sejak dari tarikh tersebut PNA yang diberi mandat oleh Israel untuk menjamin keselamatan negara haram Israel telah mengerahkan seluruh pasukan keselamatannya untuk memburu, menangkap dan memenjarakan pejuang-pejuang Palestin yang tulen dan ikhlas. Untuk mengelakkan pertembungan sesama rakyat Palestin, Syeikh Ahmad Yassin telah mengarahkan semua pejuang supaya menunjukkan kesabaran yang tinggi serta tidak membalas perbuatan pihak berkuasa Palestin. Beliau menegaskan sikap yang wajib dipertahankan iaitu ‘Anda boleh membunuh kami, tetapi kami sekali-kali tidak akan membunuh anda’. Bagi Syeikh Ahmad Yassin, musuh yang sebenarnya ialah Regim Zionis. Jangan sekali-kali rakyat Palestin termakan umpan yang sengaja ditawarkan kepada rakyat Palestin supaya mereka bertelagah sesama sendiri dan akhirnya melupakan objektif mereka untuk mengusir Zionis dan mengakhiri pendudukan Israel ke atas tanah air mereka.
Ternyata sikap kejantanan yang dipamerkan oleh HAMAS atas prinsip Syeikh Ahmad Yassin berjaya menangkis kemungkinan tercetusnya perang saudara di kalangan rakyat Palestin. Meskipun ratusan bahkan ribuan aktivis HAMAS dan keluarga mereka dipenjarakan dan diseksa namun ia tidak sedikitpun mengundang tindak balas dan dendam ke atas PNA dan kuncu-kuncunya. Israel ternyata gagal untuk melemahkan rakyat Palestin melalui pendekatan adu-domba yang mereka rangka melalui agen-agen di kalangan rakyat Palestin yang belot dan khianat.
Syeikh Ahmad Yassin juga menegaskan bahawa kebaculan tidak ada sama sekali dalam kamus perjuangan rakyat Palestin. ‘Kamu akan dapati kami akan mati menghadapi kamu dan bukan membelakangkan kamu.’ Lantaran itu kita tidak akan dapati pejuang Palestin melarikan diri dari medan perjuangan. Mereka akan hadapi musuh dengan penuh rasa ‘izzah dan kemuliaan Islam. Sebaliknya anjing-anjing Zionislah yang ketakutan berselindung disebalik peralatan perang yang canggih. Mereka menyangka senjata-senjata itu boleh melindungi mereka. Bahkan mereka diberitakan berak-kencing dalam kereta kebal mereka lantaran takut berhadapan dengan pejuang-pejuang Palestin yang terdedah di luar sana tanpa sebarang perlindungan.
Pada 22 Mac 2004 berangkatlah As-syahid yang mulia menemui Tuhannya yang telah lama dirindui. Meski jasad as-syahid hancur namun jiwanya terbang menemui kekasihnya dengan penuh redha dan diredhai. Ini mengingatkan kita kepada seruan Rasulullah SAW selepas peperangan Badar apabila Nabi bertanya kepada mayat-mayat musyrikin yang dikumpulkan dalam sebuah lubang “Apakah kamu dapati janji Allah kepada kamu benar? Sesungguhnya kami dapati janji Allah kepada kami adalah benar..” Berbahagialah As-Syahid Ahmad Yassin diberi rezeki oleh Allah tanpa batas. “Dan jangan kamu sangka mereka yang berjuang pada jalan Allah itu mati, bahkan mereka hidup dan diberi rezeki oleh Allah, sedang kamu tidak menyedarinya.”
Israel menyangka dengan membedil jasad Syeikh yang mulia dengan beberapa peluru berpandu Hellfire, mereka boleh memadamkan roh jihad di kalangan rakyat Palestin. Apa yang berlaku darah Syeikh yang melimpah dan membasahi bumi menyuburkan bumi mulia Al-Aqsa As-Syariff dengan rijal yang siap untuk menyahut seruan jihad. Kini sudah enam tahun berlalu dan Gaza tempat kancah perjuangan As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin sudah bertukar menjadi penjara terbesar di dunia. Hakikatnya kekuatan rakyat Palestin tidak pernah terjejas meski berhadapan dengan kepungan paling dahsyat yang pernah disaksikan dalam sejarah dunia.
Ketika hayatnya as-Syahid terbatas pergerakannya oleh kerusi roda. Ulama berkerusi roda ini mampu menggoncang hati musuh-musuh Zionis sehingga ke dasarnya. Mereka begitu terancam sehingga untuk menghilangkan ketakutan itu mereka buru ulama kurang upaya ini dengan menggunakan helikopter Apachee dan menembaknya dengan beberapa butir peluru berpandu. Mereka mahu melenyapkan Syeikh Ahmad Yassin dari muka bumi ini tanpa meninggalkan sebarang bekas. Tetapi mereka silap As-Syahid kini terus hidup dalam jiwa-jiwa para pemuda-pemudi Palestin bahkan ruh itu turut hidup dalam jiwa umat Islam di seluruh dunia, membakar dhamir mereka agar bangkit menggalas tanggungjawab jihad di mana jua mereka berada.
As-Syahid Ahmad Yassin dilahirkan pada tahun 1938 berhampiran Askalan (kini Ashkalon yang dirampas Israel). Beliau berlindung di Gaza bersama keluarganya menyelamatkan diri dalam perang pencerobohan Israel yang pertama pada tahun 1948. Ketika berumur 12 tahun As-Syahid mengalami kecederaan yang membawa kepada kelumpuhan dan semenjak itu beliau hanya duduk di kerusi roda sehingga akhir hayat. Beliau dipenjarakan sebanyak dua kali oleh Israel dan beberapa kali dikenakan tahanan di rumah oleh pihak berkuasa Palestin. Beliau bersama as-Syahid Dr Abdul Aziz Rantissi dan beberapa orang tokoh telah menubuhan HAMAS secara rasmi pada tahun 1987 sempena peristiwa intifadah pertama. Beliau menemui syahid pada usia beliau 66 tahun.
Dr. Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi Aqsa Syarif

Saturday, February 11, 2012

"Two-state solution" tidak akan menjadi kenyataan.

Masyarakat antarabangsa meletakkan harapan kepada penyelesaian dua negara berdasarkan kepada Resolusi 242 (1967) iaitu negara Israel dan Palestin (Gaza, Tebing Barat dan Baitul Maqdis timur) wujud bersama. Hakikatnya penyelesaian dua negara mustahil dilaksanakan kerana fakta berikut:

1. Resolusi 242 menghendaki Israel berundur dari wilayah yang diduddukinya pada tahun 1967 (Gaza, Tebing Barat dan Baitul Maqdis timur) sedangkan Israel mempunyai wewenangan untuk menentukan mana wilayah yang diduduki mana yang tidak. pengunduran ini bukan berdasarkan kepada green line yang diputuskan dalam perjanjian Rhodes 1949 dan modifikasi dari resolusi 181 (1947).

2. Israel tidak pernah menganggap Baitul Maqdis timur sebagai wilayah yang ditakluki bahkan Jerusalem (Baitul Maqdis) sudah diistiharkan sebagai ibu negara abadi Israel.

3. Israel menganggap Tebing Barat (Judea dan Samaria - negeri-negeri Bani israel zaman para anbiya) adalah bahagian yang integral dari negara Israel.

4. Kini terdapat lebih dari 200 penempatan haram Yahudi di Tebing Barat yang menempatkan lebih dari 300,000 penduduk Israel. Ini termasuk juga Baitul Maqdis di sekitar Masjid Al- Aqsa.

Jadi penyelesaian yang ditawarkan oleh HAMAS adalah bersifat sementara. 'Two state solution' berdasarkan kepada sempadan greenline 1967 adalah hanya untuk tujuan ceasefire (hudna). Gencatan senjata yang dipersetujui antara dua belah pihak adalah berdasar kpd sempadan green line tersebut. Soal pengiktirafan tidak timbul sama sekali. Pada dasarnya Israel tetap merupakan darul harb (negeri yang diistiharkan perang oleh Islam). namun ini tidak menolak berlakunya perjanjian untuk mengelakan serangan spt mana halnya perjanjian Hudaibiyah pada zaman Rasulullah SAW.

Dikongsikan lawatan ahli Lembaga Pengarah Aqsa Syarif ke kawasan paling miskin di Gaza.

https://www.facebook.com/media/set/?set=a.3183676196602.158255.1406644655&type=3

Tuesday, January 10, 2012

Rundingan FATAH dan Israel serta pendirian HAMAS

Dr Mahmood Zahar, Menteri Luar HAMAS di Gaza dengan tegas menolak sebarang usaha perundingan yang sedang berlangsung di antara Mahmud Abbas yang mewakili PA (Pihak Berkuasa Palestin) dengan Israel di Amman, Jordan. Beliau yang merupakan salah seorang perunding utama di dalam proses kesefahaman (reconciliation) dengan FATAH menggesa supaya Mahmud Abbas memberi tumpuan kepada usaha-usaha penyatuan di kalangan fraksi pejuang Palestin dan bukannya meneruskan rundingan dengan musuh.

Jika FATAH masih berminat untuk menjayakan proses penyatuan, kami akan menyambutnya, tetapi jika tidak, 'kami akan tetap di sini dan masa depan adalah di tangan kami (HAMAS).
Beliau menegaskan HAMAS tidak akan berhenti melawan Israel dalam apa juga keadaan. Beliau juga menafikan sekeras-kerasnya konon Khaled Mish'al bersetuju dengan pendekatan FATAH berunding dengan Israel di Amman dengan mengenengahkan penentangan popular tanpa kekerasan.

Beliau mempunyai keyakinan dengan perkembangan di negara-negara Arab pada hari ini. Apa yang berlaku di Mesir, Tunisia, Libya dan Sudan kini menunjukkan sokongan kepada perjuangan Palestin, tidak seperti di masa lalu di mana negara-negara ini memberi sokongan strategik kepada Israel. Apa yang berlaku kini, kata beliau "adalah 1000 kali lebih baik" dari masa lalu. Dengan itu kebangkitan Arab perlu dimanfaatkan untuk meningkatkan lagi usaha pembebesan bumi Palestin.

KAMI AKAN BERTINDAK DENGAN APA CARA SEKALIPUN.

Dr Mahmood Zahar membayangkan sekiranya Israel menyerang Gaza pada hari ini atau esok, maka kami akan bertindak balas dengan apa cara sekalipun. Beliau yakin sekiranya Israel melakukan serangan biadap pada saat ini, mengambil kesempatan dari negara-negara Arab yang masih menyusun kekuatan baru hasil dari tumbangnya regim-regim pro-Israel, reaksi rakyat Arab akan lebih hebat dari serangan yang berlaku diu Gaza pada tahun 2009.

Ulasan Pengerusi Aqsa Syarif: Sikap tegas yang disuarakan oleh HAMAS melalui jurucakap Dr Mahmood Zahar wajar diberi perhatian serius oleh Mahmood Abbas. Apakah beliau masih mengharapkan isu Palestion akan diselesaikan dimeja rundingan sedangkan israel sudah menyatakan sikapnya secara jelas tidak akan berundur walau setapak dan bertolak ansur sedikit pun dalam soal kedudukan Baitul Maqdis, pendudukan ke atas Tebing Barat dan penempatan haram pendatang Yahudi. Apakah mahmud Abbas tidak yakin dengan sinar baru yang sedang menyinsing dari negara-negara Arab dengan tumbangnya regim-regim sekutu israel selama ini? Ini membuktikan bahawa Mahmud Abbas dan FATAH mempunyai kepentingan untuk meneruskan rundingan dengan Israel. Mereka masih sesuatu yang akan menguntungkan mereka dan menjaga kepentingan peribadi pemimpin-pemimpin FATAH yang selama ini bergantung kepada Israel untuk wang saku mereka. Sekiranya rakyat Palestin dan Baitul Maqdis yang menjadi agenda utama, tidak ada sebab FATAH nak berdolak dalih. Hentikan rundingan dengan musuh zionis, sebaliknya perkuatkan kerjasama dengan seluruh fraksi pejuang Palestin untuk mengusir Zionis dari Tanah Suci