Bulan ini genaplah ulang tahun Perang Ramadhan 1393H (Perang Oktober 1973) yang ke 38. Peperangan yang bermula pada 6 hingga 24 Oktober ini mempunyai implikasi yang sangat besar. Perang yang juga dikenali sebagai perang Ramadhan kerana bermula pada 10 Ramadhan dan Perang Yom Kippur kerana jatuh pada hari kebesaran orang Yahudi ini telah merubah lanskap politik timur tengah seperti hari ini.
Peperangan ini adalah sebahagian dari usaha Mesir dan Syria untuk merebut kembali wilayah mereka yang dijajah oleh Israel dalam Perang enam hari pada tahun 1967 iaitu Semenanjung Sinai dan Tanah Tinggi Golan. Perang 6 hari juga menyebabkan Jalur Gaza, Baitul Maqdis timur dan Tebing Barat di kuasai oleh Israel sepenuhnya. Mengambil peluang dari Hari kebesaran orang Yahudi iaitu Yom Kippur, di mana sebahagian besar tentera Israel sedang bercuti, Mesir telah mengatur serangan mengejut. Keupayaan tentera Mesir untuk menembusi garisan Barlev yang dianggap kebal oleh pertahanan Israel benar-benar menjadi kejutan. Di masa yang sama tentera Syria megambil semula sebahagian dari Tanah tinggi Golan yang dikuasai Israel. Kejayaan tentera Mesir dan Syria tidak kekal lama kerana mereka terpaksa berundur ekoran serangan balas oleh Israel. Bahkan ketumbukan tentera ke tiga Mesir terkepung sepenuhnya dan bakal menghadapi kemusnahan. Israel juga mengalami kemusnahan yang besar dengan hampir 3,000 tenteranya terbunuh dan 9,000 mengalami kecederaan. Buat pertama kalinya di dalam sejarah Israel menerima hakikat bahawa ia sedang menghadapi satu peperangan yang sebenar, sedangkan konflik yang berlaku dengan negara-negara Arab sebelumnya hanyalah sebuah pertempuran. Di samping itu, hampir 500 kereta kebal dan 200 pesawat udara tentera Israel berjaya dimusnahkan oleh tentera Mesir dan Syria. Mesir dan Syria menerima kemusnahan yang jauh lebih besar, namun kejayaan pada peringkat awal peperangan memberi satu suntikan kepada seluruh dunia Arab dan negara Islam terhadap kemampuan berhadapan dengan regim Zionis di medan peperangan.
Amerika Syarikat telah bersetuju sepenuhnya di dalam Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya resolusi 338 dilaksanakan iaitu gencatan senjata di antara kedua pihak. Ini adalah suatu yang jarang berlaku kerana Amerika telah terbukti sepanjang konflik Timur Tengah tidak akan memihak kepada keputusan Majlis Keselamatan atau Persidangan Agung PBB jika ia dilihat merugikan Israel. Bahkan acapkali AS akan menggunakan kuasa vetonya untuk membatalkan mana-mana resolusi yang diputuskan jika dianggap tidak memenuhi kepentingan strategik Israel. Dalam Perang Oktober 1973, AS mengambil pendirian yang sebaliknya. Ini adalah berdasarkan kepada congakan bahawa Israel mungkin mengalami kekalahan dan terpaksa membuat beberapa konsesi yang menjejas kelangsungan negara zionis tersebut. Gencatan senjata ini bagaimanapun dicabuli oleh Israel yang terus mara sehingga ke Terusan Suez. Ini memaksa Majlis Keselamatan bersidang sehari selepas Resolusi 338 diluluskan. Resolusi 339 diluluskan untuk menguatkuasakan Resolusi 338. Motif sebenar Amerika terbongkar apabila pada 18 Oktober Presiden Nixon meluluskan peruntukan senjata tambahan kepada Israel disamping bantuan kewangan sebanyak USD 2.2 bilion. Keadaan ini telah menyebabkan Arab Saudi melakukan reaksi balas dengan mengurangkan pengeluaran petroleum sebanyak 5% sebulan kepada AS. Embargo ini kemudiannya di lanjutkan ke atas Netherland dan negara-negara lain mencetuskan krisis tenaga pada tahun 1973 yang menyaksikan ekonomi Amerika terjejas teruk. Ini adalah satu contoh bahawa negara-negara Arab mampu untuk menggunakan kuasa petrodollar untuk mencabar hegemoni politik AS di Timur Tengah.
Di masa yang sama AS telah menggunakan situasi perang Oktober untuk menghapuskan ancaman Mesir ke atas Israel. Oleh kerana objektif Mesir ialah untuk mendapatkan semula Semenanjung Sinai yang dikuasai oleh Israel, AS telah menjadikan ia sebagai umpan supaya Mesir bersetuju untuk berdamai dengan Israel. Presiden Sadat telah menyatakan persetujuannya untuk datang ke Baitul Maqdis dan mencari jalan perdamaian. Kehadiran Presiden Sadat ke Baitul Maqdis yang dikuasai Israel adalah satu isyarat pengiktirafan ke atas negara haram Israel. Perdana Menteri Israel, Menachem Begin telah mengambil peluang ini untuk memalukan Sadat dengan menyebut di dalam ucapannya. Mengalu-alukan kedatangan Sadat ke Baitul Makdis, ibu negara Israel ’yang abadi’. Ucapan ini adalah merupakan satu tamparan kepada perjuangan pembebasan Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin. Ia adalah sesuatu yang mencalar maruah dunia Islam seluruhnya. Hasil dari rundingan diplomatik di antara Mesir dan Israel yang di’broker’ oleh AS akhirnya membuahkan Perjanjian Camp David pada tahun 1978. Perjanjian ini telah mengeluarkan Mesir dari persamaan (equation) yang menentukan hala tuju konflik di Timur Tengah khususnya yang berkaitan dengan pembebasan bumi Palestin. Sehingga hari ini Mesir adalah terikat dengan perjanjian untuk tidak menjejaskan keselamatan Israel. Tindakan Mesir pada hari ini yang menutup sempadan di Rafah dan tidak membenarkan bantuan menyeberang ke Gaza yang dikepung Israel, bahkan menghalang rakyat Gaza masuk ke Mesir untuk mendapat rawatan adalah sebahagian dari memenuhi syarat Perjanjian Camp David tersebut.
6 Oktober adalah satu tarikh penting sehingga Mesir dan Syria memilihnya sebagai tarikh untuk menyambut hari kebangsaan kedua negara. Mesir turut memilih 6 Oktober sebagai hari angkatan Tentera Mesir. Pada 6 Oktober 1981, dalam perbarisan tentera sempena ulang tahun Perang Oktober, Presiden Sadat mati ditembak kerana tindakannya berdamai dengan Israel dan mengiktiraf entiti haram tersebut dianggap suatu pengkhianatan kepada umat Islam dan agamanya.
Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah
PACE (Palestine Centre of Excellence)
"Dan kami berharap kepada kalian supaya jangan menjadi musuh yang menambah penderitaan kami (rakyat Palestin). Demi Allah, jangan menjadi musuh kepada kami wahai pemimpin-pemimpin umat ini, wahai bangsa umat ini." - As Syahid Syeikh Ahmad Yasin
Thursday, August 19, 2010
PACE: Ulang Tahun Perang Oktober 1973 - beberapa pengajaran
Tuesday, August 17, 2010
Al-Aqsa yang Dilupakan: Tazkirah Ramadan
Baitul Maqdis telah telah dinyatakan dalam di dalam Al-Quran Al-Karim di lima tempat sebagai bumi barakah. Di antaranya ialah di dalam surah (Al Anbiya’ 21:71) yang maksudnya
“Dan Kami selamatkan dia(Ibrahim) dan Luth ke sebuah negeri yang telah kami berkahi untuk seluruh alam”.
Di dalam tafsir per kata, Bumi yang diberkahi yang dimakudkan ialah Syam di mana terletaknya Palestin. Kenapa ia berkat? Kerana di sinilah ramai para nabi-nabi diutuskan dan tanahnya yang subur. Di antaranya ialah keturunan Nabi Ishak dan Yaakub, Nabi Daud dan Sulaiman- Nabi Musa dan Harun- Nabi Ilyas- Nabi Zakaria dan Yahya- Nabi Isa a.s. Umum mengetahui bahawa tanahnya adalah subur yang terkenal dengan buah zaitun. Bahkan di dalam surah at teen ayat pertama wattiini wazzaituun ada pentafsir membuat rujukan bahawa kalimah “zaitun” merujuk kepada Baitul Maqdis kerana buminya yang subur dengan pohon zaitun.
Peristiwa Isra’ dan Mi’raj merakamkan Baitul Maqdis sebagai tempat persinggahan yang amat penting dalam perjalanan Rasulullah dari Mekah dan naik kelangit ketujuh dan bertemu Allah s.w.t. Kenapa Baitul Maqdis? Kenapa tidak masjid-masjid lain di muka bumi ini? Ini tidak lain dan tidak bukan untuk memberikan petunjuk bahawa terdapat kesinambungan risalah kenabian Rasulullah daripada nabi-nabi yang terdahulu. Bahkan diriwayatkan bahawa dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj, Rasulullah telah bersolat dengan mengimamkan 120,000 nabi-nabi di Baitul Maqdis.
Masjid Al-Aqsa juga merupakan satu mercu tanda umat Islam apabila menjadi kiblat pertama umat islam apabila bersolat sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh al-Barra’ bin `Azib bahawa perkara yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. apabila sampai di Madinah ialah menemui datuk neneknya dari kalangan Ansar dan baginda bersembahyang mengadap ke arah Baitul Maqdis selama 16 bulan atau 17 bulan dan sehinggalah Allah memerintahkan mengadap Masjid Al-Haram.
Tidak cukup dengan ini, Rasulullah mengajak umatnya berziarah ke masjid ini kerana ia adalah masjid ke tiga suci umat Islam dan pahala solat di dalamnya digandakan 500 kali. Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda di mana Abdullah ibn Umar bertanya pada Rasulullah SAW
"Ya Rasulullah, terangkan kepada kami hukum menziarahi Baitul-Maqdis."
Jawab Rasulullah SAW,
"Ziarah dan solatlah di sana. Sekiranya tidak mungkin (ziarah dan solat) maka kirimkanlah minyak untuk lampu-lampu (bagi menerangi masjid)" – Sahih Bukhari.
Maksudnya Rasulullah bukan sekadar menganjurkan masjid ini diziarahi tetapi menjaga dan memastikan masjid ini sentiasa dihidupkan dan dipelihara.
Kemuliaan masjid ini juga dirakamkan di dalam satu hadis
"Kamu sekalian akan mengirimkan beberapa pasukan: satu pasukan di Syam, satu pasukan di Iraq, satu pasukan di Yaman. "
Abdullah bertanya:
Pilihkan pasukan untukku ya Rasulullah. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam menjawab: "Hendaklah kamu ke Syam. Jika tidak, hendaklah kamu ke Yaman, dan hendaklah kamu minum dari sumber-sumber airnya. Sesungguhnya Allah 'Azza wa Jalla telah memberikan jaminan kepadaku untuk memelihara Syam dan penghuninya.”
Kita juga pernah mendengar bagaimana Rasulullah s.a.w. pernah mengikut bapa saudaranya Abu Talib menjelajah, membawa barang dagangan berniaga hingga ke Syam. Begitulah terkenalnya bumi Syam di dalam Sirah dan Al-Quran sehinggakan sahabat-sahabat Rasulullah SAW amat mencintai dan merindui bumi yang diberkati ini.
Saudara-saudara yang dihormati sekalian, bagaimana pula kisahnya bumi ini pada waktu ini? Apakah nasib yang menimpa umat Islam di sana? Bagaimana keadaan masjid Al-Aqsa sekarang ini?
Seperti yang dimaklumi Palestin adalah bumi yang terjajah. Bumi ini yang dahulunya dinamakan sebagai Palestin telah bertukar menjadi negara haram Israel pada 14 Mei 1948. Rentetan dari perjanjian Balfour 1917 menyaksikan penghijrahan beramai-ramai pendatang Yahudi ke bumi Palestin yang menjadi tanah jajahan British pada waktu itu. Kemasukan pendatang asing Yahudi ini telah menghasilkan konflik dengan penduduk tempatan. Berlaku pergaduhan dan pembunuhan. Dalam menangani kemelut ini, pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu telah menubuhkan UNSCOP, United Nation Security Council on Palestin yang bertanggungjawab mencari jalan penyelesaian. Malang kepada umat Islam, cadangan UNSCOP memberikan 55% tanah kepada pendatang Yahudi telah diterima oleh PBB dan terhasillah Ketetapan 181 yang memberi kuasa kepada Yahudi menubuhkan negaranya di atas tanah umat Islam, Palestin.
Pengiytiharan negara haram Israel ini menyebabkan perang di antara Arab-Israel yang pertama yang berkesudahan Israel menguasai 22% tambahan wilayah dengan mensisakan Tebing Barat dan Jalur Gaza. Selanjutnya negara haram Israel terus memperluaskan jajahannya dalam perang 6 hari Jun 1967 menyaksikan Tebing Barat, Semenanjung Gaza, Sinai (Mesir) dan Tanah Tinggi Golan (Syria) dikuasai. Baitul Maqdis timur dan ‘old city’(haram Al-Sharif) diduduki Isreal seterusnya melenyapkan negara Palestin dari peta dunia.
Semenjak 14 Mei 1948, telah 62 tahun malapetaka besar menimpa umat Islam di Palestin yang digelar sebagai Nakbah. Umat Islam dihalau dari kampung halaman menjadi pelarian di tanah air sendiri. Ada yang diculik, dipenjara, diperkosa malah ramai yang dibunuh. Peristiwa hitam seperti pembunuhan dan pengeboman menjandi tinta dakwat merah yang merobek hati jantung umat Islam. Rumah dan bangunan dimusnahkan dan tanah dijarah sebagai alasan untuk membina penempatan-penempatan haram Yahudi. Akibatnya lebih 4 juta umat Palestin menjadi pelarian di tanah air sendiri iaitu di Tebing Barat atau Gaza atau berhijrah ke negara jiran seperti Jordan, Syria dan Lebanon. Ladang-ladang zaitun dibakar dan dimusnahkan. Saban hari penduduk Islam dibom dan dibunuh. Peristiwa penyembelihan Sabra Shatila oleh Kristian Phalangist dan Ariel Sharon di Lebanon pada September 1982 menyebabkan lebih 3000 kanak-kanak dan wanita diperkosa dan dibunuh. Pembantaian di masjid Hebron ketika solat subuh pagi Jumaat di bulan Ramadan pada 25 februari 1994 mengakibatkan 60 orang terkorban dan 300 orang cedera parah. Setahun lebih yang lalu kerajaan dan tentera Zionis semakin rakus meratah penduduk Gaza selama 23 hari yang menyaksikan bom fosforus dan segala macam kecanggihan ketenteraan digunakan untuk menghancurkan Gaza dan umatnya. Akibatnya, kira-kira 4,000 tempat tinggal, 48 pejabat dan bangunan kerajaan, 30 balai polis, 20 masjid telah dimusnahkan. Jalan raya, sekolah, grid bekalan elektrik dan sistem saluran air turut mengalami kerosakan meluas.
Umat Islam di Tebing Barat dan Gaza menjadi penjara terbesar dunia. Tembok-tembok pemisah yang panjangnya lebih dari 700km di bina di Tebing Barat bagi memisahkan umat Islam dengan keluarga mereka, memisahkan penduduk dengan ladang mereka dan menyukarkan pergerakan penduduk untuk ke tempat kerja dan sekolah. Di Gaza pula, sekatan ekonomi dan mobiliti penduduk yang dikenakan selepas HAMAS menang pilihanraya pada Januari 2006, mengakibatkan tragedi kemanusiaan yang dahsyat. Bekalan air terputus, bekalan ubat-ubatan tidak kesampaian, stesen janakuasa berhenti berfungsi kerana tiada bekalan bahan api. Akibatnya ramai pesakit yang mati akibat keputusan bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan yang tidak berfungsi, kemelaratan dan kelaparan akibat kekurangan bahan makanan, kadar pengangguran mencecah 50% akibat kilang-kilang yang tidak beroperasi dan kadar inflasi yang tinggi. Dalam keadaan kesengsaraan inilah operasi Cast Lead dipaksakan pada 27 Disember 2008 bagi memastikan HAMAS tumbang dan Israel kembali menguasai Gaza. Tetapi Allah Maha Berkuasa dan Maha Kaya. Allah masih memelihara dan memenangkan umat Islam.
Di kala umat palestin diseksa, kelaparan, ketakutan dan dihujani dengan peluru dan bom di mana kita? Di mana kita selaku saudara-saudaranya yang mengaku beriman. Tidak tersentuhkan hati nurani kita apabila kita berbelanja dengan mewah juadah berbuka puasa sedangkan saudara-saudara kita tidak pasti adakah makanan untuk berbuka dan bersahur? Apakah kelaparan yang dirasai ketika berpuasa tidak mampu menghasilkan tindakan untuk membantu saudara-saudara kita yang teraniaya?.
Cuba kita imbau dan bayangkan. Dikala kita selesa beriktikaf dan solat tarawih di masjid dan surau, bagaimana dengan nasib saudara-saudara kita di sana? Apakah mereka mampu bersolat dan bertarawih dalam keadaan tenang dan selesa dalam keadaan muncung senapang berada di depan mereka? Bagaimana dengan keadaan masjid Al-Aqsa yang telah berkali-kali diceroboh oleh Yahudi laknatullah dan dibina terowong di bawahnya untuk meruntuhkannya? Apakah yang telah kita lakukannya untuk menyelamatkannya sebagaimana pengajaran dari hadis nabi yang mengarahkan kita untuk mengirimkan minyak untuk menerangi lampu-lampu di Masjid Al-Aqsa sekiranya kita tidak mampu menziarahinya? Berapa banyakkah ‘minyak’ yang telah kita kirimkan ke sana atau apakah kita hanya ingat untuk menyalakan pelita atau lampu di sekeliling rumah apabila syawal menjelang tiba?
Kita lihat pula persiapan untuk berhari raya. Apakah mereka mampu memikirkan persiapan hari raya sedangkan untuk hidup hari inipun belum tentu mereka dapat meneruskannya? Sedarlah wahai saudara-saudaraku, bahawa kita telah lama alpa dan leka. Biarkanlah berlalu promosi hari raya dan hidangan enak berbuka puasa difikirkan oleh mereka yang jauh dengan Allah s.w.t. Hulurkanlah sebahagian rezeki yang Allah limpahkan kepada kita semua untuk umat Islam Palestin sesuai dengan bulan ramadan yang berkat ini. Allah akan menggandakan pahala tuan-puan sebagai mana hadis yang mengatakan bahawa ibadah puasa ini Allahlah yang akan mengganjarinya. Tidak seperti ibadat-ibadat lain yang ganjarannya mempunyai kadarnya.
Wahai saudara-saudarku yang dikasihi, marilah kita menjadi penolong-penolong agamanya dalam menegakkan agama. Marilah kita mencontohi Saidina Umar dan Salahudin Al-Ayubi dalam membebaskan Palestin. Berbuatlah apa sahaja walau sekecil manapun usaha kita agar kita bersama-sama dalam gerombolan jihad yang suci ini. Ingatlah bahawa mereka yang menyediakan bekalan untuk orang yang berjuang juga digelar sebagai mujahid.
Ingatlah saudara-saudaraku bahawa kemenangan itu bersama Islam. Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tidaklah akan berlaku qiamat, sehingga kaum Muslimin memerangi kaum Yahudi sehingga kaum Yahudi itu bersembunyi di sebalik batu dan pohon kayu, lalu batu dan pohon kayu itu berkata: "Hai orang Islam, inilah orang Yahudi ada dibelakang saya. Kemarilah! Dan bunuhlah ia! ", kecuali pohon gharqad (semacam pohon yang berduri), kerana sesungguhnya pohon itu adalah dari pohon Yahudi (oleh sebab itulah ia melindunginya)";- (Riwayat Bukhari dan Muslim). Begitu juga dari Kitab Musnad Imam Ahmad, dari Abu Umamah Radhiyallahu 'Anhu beliau mengatakan: Rasulullah Shallallahu 'Alahi wa Sallam bersabda: "Akan senantiasa ada sekelompok dari ummatku yang memperjuangkan kebenaran, mereka mengalahkan lawan-lawan mereka. Mereka tidak digoyangkan oleh orang yang menyalahi mereka, melainkan mereka mendapatkan penderitaan. Demikianlah keadaan mereka hingga datang pertolongan Allah, mereka tidak berubah. Para sahabat bertanya: Di mana mereka itu ya Rasullullah? Beliau menjawab: Mereka berada di Baitul Maqdis".
Tidak syak lagi bahawa mereka di Palestin mempertaruhkan jiwa dan harta mereka dalam mempertahankan Al-Aqsa dan dalam membebaskan tanah air umat Islam dari cengkaman Zionis laknatullah. Oleh marilah kita menjadikan diri kita benar-benar sebagai saudara-saudara mereka yang membantu perjuangan mereka.
Akhir kata, saya mendoakan agar duduk-duduk kita di sini sambil mengingati saudara-saudara kita di Palestin diganjari dengan sebanyak-banyak ganjaran dari Allah s.w.t. Muga-muga dengan keperihatinan kita tentang hal ehwal umat di palestin dan di tempat-tempat lain menjadikan hati-hati kita hidup dan peka dengan kesengsaraan dan untung nasib umat dan seterusnya menjadikan kita lebih pemurah, lebih proaktif ke arah kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Muga-muga Allah menerima amal-amal kita, menjadikan kita lebih bertaqwa dan menemui Allah dengan hati yang redha dan sejahtera.
Di sini terdapat tabung sumbangan untuk Palestin. Silakan saudara-saudaraku memenuhkannya untuk infaq kepada perjuangan Palestin. Bersama saya juga ada borang Rayuan ramadan yang kutipannya akan dihulurkan kepada umat Islam yang kurang bernasib baik dan lebih memerlukan di seluruh dunia termasuk Palestin. Muga Allah mengganjari tuan puan dengan sebanyak-banyak ganjaran.
Disediakan oleh
Hj. Shamsuri Abdullah
Ko-ordinator PACE Negeri Sembilan
Pengerusi Sekretariat Aqsa Syarif Negeri sembilan
Pelancaran Program Menyambut Bulan Ramadan dan Ceramah Palestin di Sekolah Menengah Teknik Tuanku Ja'afar, Seremban
Para Pelajar Sedang Berkumpul Menanti Program Bermula
Kelihatan Pelajar Mengunjungi Gerai Pameran dan Jualan Kendalian Aqsa Syarif N.Sembilan
Wakil Aqsa Syarif Seremban, En. Hasri Wazir Antara Yang Membantu Melancarkan Perjalanan Program
Antara Bunting Palestin Yang Kelihatan Ketika Program Berjalan
Aqsa Syarif N.Sembilan telah dijemput untuk berkongsi maklumat berkenaan kepentingan perjuangan pembebasan bumi Palestin pada 10 Ogos 2010 yang lepas di Dewan Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar, Seremban (SMTTJ). Program bermula dengan ucapan dan perasmian program pada jam 3.30 petang. Inisiatif ini adalah anjuran pihak sekolah bersama PIBG dan Persatuan Bekas Pelajar-pelajar Sekolah Menengah Teknik Tuanku Ja'afar.
Program ini amat bermakna kerana diserikan dengan ceramah yang disampaikan oleh Dr Selamat Aliman, alumni SMTTJ. Selain ceramah, pihak Aqsa Syarif N.Sembilan juga telah membuka gerai jualan dan pameran. Alhamdulillah, lebih RM1000 berjaya disumbangkan oleh warga STTJ. Program berakhir dengan jamuan di dewan makan sebelum waktu Maghrib. Difahamkan seekor lembu telah ditumbangkan dan warga SMTTJ bergotong royong memasak untuk majlis ini.
Subscribe to:
Posts (Atom)