Aqsa Syarif mengimbau satu peristiwa dahsyat yang berlaku tiga yang lalu, di saat seluruh dunia menyambut kedatangan tahun baru hijrah dan berada diambang sambutan tahun baru miladiah iaitulah serangan biadap yang dilancarkan oleh regim Zionis Israel ke atas jalur Gaza pada 27 Disember 2008. Seramai 1,500 rakyat Palestin gugur syahid dalam peristiwa menyayat hati ini dan hampir 5,000 yang lain mengalami kecederaan yang parah dan kecacatan sepanjang hayat. Peristiwa yang telah berlalu selama tiga tahun ini kini mungkin telah dilupakan oleh sebahagian besar warga dunia. Namun hakikatnya perang yang tidak diistiharkan ini tidak pernah berakhir bahkan tidak pernah berhenti sejak 64 tahun yang lalu dan boleh berulang kembali pada bila-bila masa tanpa sebarang amaran. Bahkan serangan berlaku saban hari di bumi Palestin yang menyaksikan sehingga belasan atau puluhan rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara atau bedilan dari sempadan.
Aqsa Syarif ingin mengingatkan rakyat Malaysia tentang penderitaan yang masih ditanggung oleh Palestin di Gaza. Bahkan selepas tiga tahun peristiwa itu berlaku, rakyat Gaza masih dikepung dan terus dikenakan sekatan ekonomi dan dihalang dari mendapat bekalan makanan, ubat-ubatan, bekalan air bersih, bahan binaan dan bahan bakar. Kedudukan mereka tidak pernah berubah sejak enam tahun yang lalu (bermula 2006) apabila Israel menutup sempadan keluar-masuk dan laluan laut dan udara. Yang lebih memilukan ialah Negara umat Islam yang berjiran dengan Gaza iaitu Mesir turut tunduk kepada tekanan Israel dan menutup satu-satunya laluan ke Mesir dipintu masuk Rafah. Bahkan sewaktu rakyat Gaza yang tercedera cuba untuk mendapatkan rawatan di Mesir, mereka telah dihalang dari memasuki sempadan sehingga ada yang meninggal kerana menunggu beberapa hari di pintu masuk. Bukan sahaja penduduk Gaza tidak dibenarkan menyeberang masuk bahkan bantuan perubatan yang datang dari seluruh dunia juga tidak dibenarkan masuk untuk menghantar doktor, ubat-ubatan dan peralatan untuk rawatan. Sesungguhnya dunia belum pernah menyaksikan kezaliman yang begitu menyolok mata yang dilakukan oleh umat islam sendiri ke atas saudara-saudara seagama mereka.
Berbanding dengan pendirian Mesir dan regim-regim Negara Arab yang bersekongkol dengan Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat, kita lihat beberapa inisitif yang diambil oleh warga dunia yang begitu prihatin dan sanggup meletakkan nyawa mereka dalam bahaya untuk membantu rakyat Gaza atas dasar kemanusiaan yang tulus. Kita menyaksikan bagaimana usaha penghantaran bekalan makanan dan ubat-ubatan oleh ahli-ahli parlimen Eropah dan NGO melalui jalan laut telah dibedil oleh Isreal sehingga mereka hampir maut dalam cubaan untuk menyelamatkan penduduk Gaza. Seorang ahli parlimen British George Galloway pula melakukan satu inisiatif untuk menghantar konvoi yang terdiri dari lebih dari 100 buah ambulan dan ubat-ubatan ke Gaza melalui jalan darat pada bulan Disember 2009. Apa yang menakjubkan ialah warga Britain dari beberapa buah daerah telah menyumbang ambulan mereka tersendiri untuk disumbangkan kepada penduduk Gaza. Begtu juga sumbangan dari rakyat Amerika yang bergabung di bawah inisiatif Viva Palestina USA. Alhamdulillah rakyat Malaysia juga melalui sumbangan orang ramai telah menyumbang sebanyak 4 buah ambulan terhadap usaha ini. Ini disusuli pula dengan Life Line for Gaza LL4G yang melibatkan lebih 600 sukarelawan dari seluruh dunia yang menyertai flotilla di atas kapal Mavi Marmara yang cuba menerobos 'tembok kematian' gaza pada bulan Mei 2010. Seramai 12 orang sukarelawan dari Malaysia telah mengambil bahagian termasuklah Pengerusi Aqsa Syarif ketika itu Ustaz Hassanuddin Mohd Yunus dan Ir Dr Selamat Aliman, ahli Lembaga Pemegang Amanah Aqsa Syarif. Dunia menyaksikan bagaimana Israel dengan biadap telah menyerang Flotilla kemanusiaan ini sehingga 9 orang aktivis terkorban syahid. Meskipun misi ini berakhir dengan tragedi, ia tidak sedikitpun mematahkan semangat warga dunia yang cintakan keamanan dan membenci kezaliman Zionis untuk terus berjuang membela rakyat Palestin yang tertindas dan berusaha untuk membebaskan mereka. Bantuan kemanusiaan diteruskan lagi dengan Konvoi darat yang melibatkan lebih dari 200 kenderaan ambulan dan kenderaan pengangkutan yang lain. Misi kali ini terut disertai oleh Aqsa Syarif di mana 7 orang sukarelawan di bawah pimpinan Prof Madya Dr Mohd Zin Kandar bergabung bersama lima orang sukarelawan Viva Palestina Malaysia di bawah pimpinan Allahyarham Datuk Adnan Tahir. Misi yang diberi nama Viva Palestina V dan Aqsa 2 Gaza ini telah membawa amanah berupa 6 buah ambulan sumbangan rakyat Malaysia dan bantuan wang ringgit, ubat-ubatan dan barang keperluan asas yang lain. Kemahuan yang tinggi untuk membebaskan rakyat Palestin dari cengkaman kezaliman Zionis telah menggerakkan misi Aqsa2Gaza2 pada bulan Ramadhan yang lepas di mana 11 orang sukarelawan Aqsa Syarif telah berjaya memasuki Gaza dan menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM1.5 juta. Ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia amat prihatin dan akan terus menyahut seruan membantu rakyat Palestin. Aqsa Syarif akan terus bersama rakyat Malaysia untuk menerajui usaha-usaha murni atas nama kemanusiaan dan membanteras pendudukan Israel yang tidak sah sejak 64 tahun yang lalu.
Aqsa Syarif akan terus memacu kempen kesedaran Palestin dalam pelbagai bentuk dan pendekatan. Setiap warga Malaysia tanpa mengira tahap umur dan lapisan akan terus diperkasa dengan maklumat, kesedaran dan seterusnya diberi ruang untuk menyumbang kepada rakyat Palestin dengan bermakna. Sumbangan berupa wang ringgit, tenaga kerja kesukarelawanan dan penglibatan dalam kempen kesedaran sentiasa dialu-alukan oleh Aqsa Syarif. Bagi Aqsa Syarif penglibatan khalayak dalam program-program yang disusun adalah petanda positif bahawa seluruh rakyat Malaysia sentiasa berganding bahu dalam isu yang melibatkan pembelaan ke atas rakyat Palestin. Program berbentuk rekreasi dan kesukanan seperti pertandingan 'Paintball' anjuran Aqsa Syarif Selangor ini adalah satu lagi inisiatif untuk melibatkan semua lapisan masyarakat terutama golongan muda yang suka kepada cabaran dan aktiviti yang menguji ketangkasan. Adalah menjadi harapan Aqsa Syarif, penglibatan golongan muda akan merancakkan lagi kempen kesedaran perjuangan pembebasan Palestin. penglibatan sebegitu ramai pasukan yang dibentuk termasuklah dari PCOM (Palestine Cultural Organization Malaysia) yang merupakan rakyat Palestin sendiri dalam temasya Paintball kali ini sudah tentu mewarnakan acara Paintball ini dengan 'semangat Palestin' yang mengujakan.
Sekali lagi Aqsa Syarif mengucapkan tahniah kepada semua peserta dan penganjur tertutama Aqsa Syarif Selangor yang begitu berani mencuba sesuatu yang baru dan segar dalam mengenengahkan isu Palestin ke tengah-tengah masyarakat Malaysia. Syabas diucapkan pada semua'
Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi Aqsa Syarif*tulisan di atas adalah teks ucapan Pengerusi Aqsa Syarif ketika merasmikan pertandingan paint ball anjuran Aqsa Syarif Selangor