Wednesday, June 8, 2011

PENCEROBOHAN KE ATAS MASJID AL AQSA DAN MASJID DI AL-MUGHAYER, RAMALLAH



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Aqsa Syarif mengutuk dengan sekeras-kerasnya dua insiden yang membabitkan kelompok yahudi zionis di baitul Maqdis dan di Tebing Barat.

Di baitul Maqdis, polis Israel telah membenarkan tidak kurang dari 60 penceroboh memasuki pagar Maghriba dan menceroboh perkarangan Masjid al-Aqsa. Tindakan biadap ini dilindungi sepenuhnya oleh polis Israel yang mengancam umat Islam yang berada di sekitar masjid supaya tidak melaungkan bantahan kepada penceroboh-penceroboh tersebut. Bahkan mereka telah menahan seorang rakyat Palestin yang sedang beribadat di masjid al-Aqsa. Perbuatan biadap ini dilakukan bersempena dengan hari keagamaan Yahudi Shavoat. Perbuatan ini dilakukan tepat pada ulangtahun Masjid al-Aqsa ditawan oleh penceroboh Israel pada tahun 1967 di hari yang sama. Sudah pastinya tindakan ini dirancang supaya bertepatan dengan kemenangan mereka merampas masjid al-Aqsa dalam perang enam hari 44 tahun yangh lalu. Tidak syak lagi insiden ini dirancang sebagai satu provokasi kepada rakyat Palestin dan umat Islam amnya yang memperingati tragedi Naksah di mana ketika itulah masjid al-Aqsa ditawan sehingga hari ini.

Kejadian yang kedua melibatkan sebuah masjid di perkampungan al-Mughayer di Ramallah, Tebing Barat. Dalam insiden ini masjid tersebut telah diceroboh masuk sebelum waktu subuh. Penduduk setempat menyedari kejadian ini apabila mendapati kepulan asap yang terbit dari masjid.  Terdapat cubaan untuk membakar masjid tetapi gagal. Penceroboh tersebut juga menconteng dinding masjid dengan tulisan Hebrew. Kejadian ini didakwa berlaku sempena perayaan agama Yahudi. Namun Israel mendakwa ia dilakukan oleh seorang pendatang haram Yahudi yang tidak puas hati dengan tindakan pihak berkuasa Israel memindahkan penempatan haram Israel. Dalam cubaan kepura-puraan yang jelas, pihak penjajah Israel telah mengecam serangan tersebut. Amat sukar bagi dunia untuk tidak mengaitkan kejadian ini dengan pencerobohan yang berlaku di Masjid al-Aqsa pada tarikh yang sama dan berlaku serentak pula dengan ulangtahun penawanan masjid oleh zionis Israel. Semuanya adalah perbuatan yang dirancang oleh rejim zionis dengan tujuan untuk terus melakukan provokasi-provokasi terancang ke atas rakyat Palestin. Ini akan memberi mereka ruang yang lebih luas untuk bertindak secara biadap kepada rakyat Palestin yang sedang menggerakkan usaha-usaha penyatuan. Kebangkitan penduduk Arab termasuklah pelarian Palestin di sempadan Negara haram Israel seperti di Syria dan Lubnan juga amat meresahkan regim Zionis yang merasa amat perlu untuk menguatkan pendudukan mereka di Tebing Barat dan Baitul maqdis.

Sebenarnya sudah menjadi dasar Negara haram Israel untuk memadamkan wajah-wajah Islam di bumi Palestin. Menurut Adnan Ibrahim Hassan as-Subah di dalam laporan beliau Role of Palestinian Civil Society in the Protection of Holy Sites in Palestine, terdapat 19 masjid yang telah ditukar menjadi kandang ternakan, kelab malam, bangunan pejabat dan tempat berkumpul dan berpesta, 13 telah diubah menjadi synagogue, 50 buah termasuk maqam para sahabat (termasuk Abu Hurayra RA) dan orang soleh ditukar menjadi tempat-tempat suci Yahudi atau terbiar. Bahkan 5 tanah perkuburan dijadikan tempat parker kereta, taman permainan dan tempat pelupusan sampah. Di antara masjid-masjid yang dimusnahkan ada yang berusia lebih dari 1000 tahun seperti masjid Asqalan, Yabna dan Ashdod. Pada tahun 1950 dari 160 buah masjid di wilayah Palestin yang ditawan Israel pada tahun 1948, kurang dari 40 buah sahaja yang masih berdiri.

Aqsa Syarif amat prihatin dengan apa yang berlaku terhadap Masjid al-Aqsa dan semua tempat-tempat ibadat samada masjid atau gereja yang dimusnahkan oleh regim biadap tidak beragama zionis Yahudi. Aqsa Syarif mengajak akan terus mengajak rakyat Malaysia dan umat Islam supaya terus membantu rakyat Palestin mempertahankan hak mereka dan tempat-tempat ibadat dari diceroboh oleh syaitan zionis yang bertopeng manusia.

Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi
Aqsa Syarif Bhd
8 Jun 2011


AQSA SYARIF MENGUTUK PENCEROBOHAN KE ATAS MASJID AL AQSA
DAN SEBUAH MASJID DI AL-MUGHAYER DI RAMALLAH